Friday, March 30, 2012

PERPADUAN ANTARA SUNNI DAN SYIAH : MUNGKINKAH?

Perhubungan Ahli Sunnah dan Syiah, sama ada renggang atau erat berpunca daripada ideologi dan juga aqidah bukannya disebabkan dasar hubungan sosial. Orang-orang awam yang menganuti mazhab-mazhab ini tidak mendalami ideologi-ideologi mazhab, aqidah dan juga tidak memahami tentang pemikiran. Hubungan sosial dan kekeluargaan tetap ada di kalangan orang-orang awam bagi kedua-dua mazhab kerana kehidupan bermasyarakat berbeza dengan hala tuju aqidah, kerana manusia adalah bersaudara dalam erti kata kemanusiaan. Perselisihan agama ataupun mazhab tidaklah merosakkan persahabatan dan tidak juga mencetuskan permusuhan.

Bagi orang kebanyakan daripada kedua-dua kelompok ini, mereka beranggapan tiada perselisihan di antara Sunni dan Syiah di dalam perkara dasar (usul) iman ataupun rukun Islam ataupun perkara-perkara yang perlu diketahui dalam agama. Perselisihan juga dalam permasalahan fiqh, pendapat-pendapat dan falsafah-falsafah yang mana tiada hubungan dengannya dengan prinsip-prinsip aqidah, atau tiada perselisihan langsung sebenarnya. Adapun konflik yang berlaku adalah hasil daripada sangkaan semata-mata disebabkan kedua-dua pihak telah hidup dalam keadaan berasingan dalam tempoh yang agak panjang. Kumpulan ini berpendapat bahawa perpaduan boleh dicapai dan perselisihan atau khilaf dalam masalah furu' tidaklah membawa kepada perbalahan, putus hubungan, salah sangka mahupun tuduh menuduh kerana memutuskan hubungan sesama Islam adalah satu penyakit yang memburukkan umat Islam. Umat Islam tidak mendapat apapun melainkan kegagalan dan kelemahan.

Walau bagaimanapun di kalangan sekumpulan yang lain selain dari kumpulan kebanyakan yang dinyatakan di atas, terdapat perselisihan di antara kedua-dua pihak, jurang pemisah amatlah besar pada sudut aqidah, hukum-hukum dan sumber yang diperolehi. Ini menjadikan jalan-jalan untuk mempererat keduanya tertutup, tiada lagi jalan penyelesaian. Setiap pihak berpegang dengan pegangan mereka sendiri, tiada faedah dalam menganjurkan seminar-seminar dan rundingan-rundingan. Dengan meninggalkan segala perdebatan atau dialog adalah merupakan jalan terbaik untuk memadamkan api fitnah. Jadi setiap pihak dengan pegangan mereka sendiri dan di sana ada kehidupan serta kerjasama dalam urusan harian seperti mana negara-negara lain berlainan agama dapat menjalankan kerjasama. Ini adalah pandangan sebahagian besar kedua-dua belah pihak seperti Syeikh Muhammad Zahid Al-Kauthari, Syeikh Muhammad Bahjah Al-Baitar (ulama Sham), Syeikh Muhammad Al-Kholisi di Iraq, Syeikh Rashid Ridha dan yang terdahulu daripada mereka iaitu Syiekh Al-Islam, Ibnu Taimiyyah dan lain-lain.

Berdasarkan apa yang terdahulu, Sesungguhnya kita pada hari ini perlu meneliti semula pandangan-pandangan ini kerana seruan ke arah mempererat lagi hubungan terus diperbaharui pada masa kini yang mana ianya telah dilakukan oleh orang persendirian mahupun badan atau pertubuhan-pertubuhan tertentu. Berlaku suasana kecelaruan di kalangan sesetengah masyarakat Islam hingga tidak dapat membezakan antara "khilaf" atau perbezaan yang dibenarkan dan pegangan menyeleweng daripada aqidah yang benar. Pada hakikatnya "pendekatan" antara Sunni dan Syiah merupakan satu usaha "kompromi" antara perkara yang hak dan batil.

PENYELEWENGAN UMUM SYIAH

1) Menziarahi Kubur Saidina Husain, Ganjarannya Syurga.

i. Syiah mendakwa bahawa orang yang menziarahi kubur Saidina Husain akan memasuki Syurga, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sesiapa yang menziarahi Husain selepas wafatnya, nescaya ia akan memasuki Syurga".

ii. Perkara ini terkandung di dalam kitab al-Irsyad karangan Muhammad bin Muhammad bin Nu'man al-'Askibri al-Baghdadi, halaman 252.

2) Menyeksa Tubuh Badan Sempena 10 Muharram

i. Golongan Syiah mengadakan upacara memukul dada dan menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram bagi menangisi kematian Saidina Husain. Perkara ini dinyatakan di dalam Kitab al-Syiah Wa al-Tashih al-Sira', Baina al-Syiah Wa at-Tasyayyu' oleh Doktor Musa al-Musawi, halaman 98.

3) Menghina Isteri-isteri Nabi SAW.

i. Golongan Syiah juga jelas menghina isteri-isteri nabi. Hal ini dinyatakan dalam kitab Tuhfah al-'Awam Maqbul oleh Al-Syed Manzur Husain, halaman 330.
Thursday, March 29, 2012

Kisah Hindu Memamah Hati Saidina Hamzah adalah Palsu

Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi’ah Di Kalangan Ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.

Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud.

Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian at-Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.

Ibnu Ishaq berkata, “Mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang terbunuh.

Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar.”(Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36)

Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya…” (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204)
Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi (seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya).

Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar.” Imam Bukhari berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.” Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, “Dia seorang pendusta besar.” Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai.”

Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”

Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.” Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu:

1) Abul Qasim Baghawi

2) Muhammad bin Jarir at-Thabari

Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287).

Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang dhaif.” Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar.” Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang dhaif.” Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalah karut dan dusta.”

Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi beliau mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H.” (Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253)

Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’ tidak boleh diterima (sebagai hujah).

Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq, tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al-Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar-Razi selain dari Ibnu Jarir at-Thabari.

Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, di setiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan. Ia hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja!

Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah ini tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan at-Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapa pun sebelum tahun 70H.


PENILAIAN LOGIK

Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al-Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah), Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as-Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (isteri kepada Amar bin al-’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al-As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Alqamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.

Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq.

Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.


SIKAP IMAM BUKHARI

Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu.


RIWAYAT IMAM BUKHARI

Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah.” Saya berkata, “Tentu sekali.”

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?” Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al-Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.”

Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?” Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah! Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin al-Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin al-Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu.” Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?” Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini: Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin al-Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka.”

Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah sesiapa yang akan berlawan?” Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil ke hadapan seraya berkata, “Oh Siba’! Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya?” Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba&rsquo menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke Ta’if.”

Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi s.a.w. melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?” Saya menjawab, “Ya.” Baginda s.a.w. bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?” Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar.” Nabi s.a.w. pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?” Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ.”

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Musailamah al-Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-Fadhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al-Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)

Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut;

1. Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.

2. Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.

3. Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.

4. Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah s.a.w., Nabi s.a.w. meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Hindun, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah s.a.w. juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi s.a.w. menakluk Mekah, di samping Baginda s.a.w. mengisytiharkan damai, Baginda s.a.w. juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.

Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi s.a.w. menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi s.a.w. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.”

Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi s.a.w. dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi s.a.w. dan bagaimana Nabi s.a.w. menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi s.a.w. itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi s.a.w., ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah. Baginda s.a.w. lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)

Ini bermakna Nabi s.a.w. juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda s.a.w. bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.

5. Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikiran dan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka.

6. Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

7. Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.



8. Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi s.a.w. supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda s.a.w., bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah s.a.w. dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi s.a.w., tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi s.a.w. menerima keislamannya secara taqiyyah!

Imam Bukhari mengemukakan hadis, “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab ‘Kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keislamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan. Itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya.
Wednesday, March 28, 2012

PENYELEWENGAN SYIAH DARI SUDUT SYARIAT

1) Menolak Ijmak Ulama.

i. Golongan Syiah tidak menerima ijmak ulama dalam perundangan Islam malah mereka berpegang kepada pendapat imam-imam mereka kerana mereka mempercayai ijmak terkandung kesalahan sedangkan pendapat imam adalah maksum. Kenyataan ini dijelaskan dalam buku Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna Asyariyyah oleh Shah Abdul Aziz al-Imam Waliyullah Ahmad Abdul Rahim ad-Dahlawi, halaman 51.

2) Menolak Qias.

i. Golongan ini juga menolak qias. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin al-Husain Aali Khasif al-Ghita', halaman 149.

3) Mengamalkan Nikah Mut'ah.

i. Golongan Syiah masih meneruskan amalan nikah Mut'ah yang diamalkan sejak zaman Jahiliyyah sehingga sekarang. Mereka berpendapat nikah Mut'ah adalah diharuskan dalam syariat Islam. Ciri-ciri nikah Mut'ah yang diamalkan oleh golongan Syiah adalah akad, tempoh dan mahar. Berikut adalah huraian ciri-ciri nikah Mut'ah golongan Syiah :

  • Dalam nikah Mut'ah ditetapkan tempoh tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sama ada sebulan, setahun, atau sehari. Nikah Mut'ah juga boleh dilakukan dalam tempoh satu jam, dua jam, sehari,dua hari atau semalaman.
  • Nikah Mut'ah boleh dilakukan dengan perempuan Yahudi, Nasrani, Majusi, anak dara tanpa izin bapanya dan juga perempuan pelacur. Dalam nikah Mut'ah juga tidak ditentukan bilangan wanita yang diMut'ahkan, boleh dilakukan sehingga seribu orang wanita.
  • Sewaktu akad hendaklah disebutkan mahar dan tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak. Sekurang-kurang mahar ialah semangkuk gula atau segenggam makanan dan sebagainya.
ii. Nikah Mut'ah yang digunakan golongan Syiah ini terkandung di dalam kitab al-Nihayah Fi Mujarrad al-Fiqh Wa al-Fatawa oleh Abu Ja'far Muhammad b. al-Hasan b. Ali al-Tusi, halaman 489-491 serta kitab Tahzib al-Ahkam oleh Abu ja'far Muhammad b. al-Hasan al-Tusi, halaman 254,259 dan 266.

4) Menolak 'Aul dan mendahulukan Qurabah dari 'Asobah dalam Masalah Pusaka.

i. Dalam pembahagian harta pusaka, feqah Syiah tidak menerima 'aul yang telah diasaskan oleh Khalifah Umar al-khattab. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hassan bin Yusuf al-Mutahhar al-hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 100-101.

5) Mengharuskan Jamak Sembahyang Dalam Semua Keadaan.

i. Golongan Syiah mengharuskan jamak sembahyang fardhu iaitu Zohor dan Asar dalam waktu Asar, Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab permusafiran. Perkara ini disebutkan di dalam buku Minhaj Kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 36.

6) Menetapkan Prinsip Khumus sebagai Kadar Zakat.

i. Golongan Syiah menetapkan 1/5 sebagai kadar zakat. Mereka juga menetapkan kadar itu pada harta rampasan perang dan lain-lain. Perkara-perkara ini terkandung di dalam kitab Tahzib al-Ahkam karangan Abu Ja'far Muhammad bin al-Hasan al-Tusi, halaman 122 dan buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan Prof. Madya Dr.Lutpi Ibrahim, halaman 48.

7) Sembahyang Dhuha adalah Bid'ah.

i. Golongan Syiah mendakwa sembahyang Dhuha adalah Bid'ah. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 31.

8) Islam bukanlah Syarat Wajibnya Haji.

i. Syiah mendakwa Islam bukanlah syarat wajibnya haji. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 55.

9) Qunut adalah Sunat, Ianya dilakukan Sebelum Rukuk.

i. Golongan Syiah mendakwa Qunut adalah sunat, ianya dilakukan sebelum rukuk. Perkara ini disebutkan didalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 30-31.

10) Wajib Menyapu Kedua-dua Kaki dan Tidak Memadai Basuh Kedua-duanya.

i. Syiah juga mendakwa wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya. Hal ini dijelaskan di dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 13-14.


Tuesday, March 27, 2012

MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH

Soalan: Dr Asri, menjelang bulan Muharram, kita umat Islam akan memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, di mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bolehkah Dr bincangkan hikmah Nabi s.a.w memilih bulan Muharram sebagai bulan hijrah baginda? Apakah lagi yang patut kita lakukan untuk menyambut bulan hijrah ini selain dari apa yang biasa masyarakat kita lakukan?

Nasir, Kuantan.


Jawapan Dr MAZA: Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa perkara berikut;

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.

Sumber : http://drmaza.com/home/?p=1297

 

ASPEK PENYELEWANGAN SYIAH

Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Terdapat penyelewengan daripada pelbagai sudut, antaranya aqidah, syariah dan umum.

PENYELEWENGAN DARIPADA SUDUT AQIDAH

1) Khalifah diwasiatkan secara Nas

i. Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasul-NYA secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 78.

ii. Syiah juga mempercayai wasi ( orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat) Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Perkara ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin Husain Ali Kasyif al-Ghita', halaman 136.

2) Imamah dan khalifah sebahagian daripada Rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj kebenaran dan Pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 145-146.

3) Imam adalah Maksum

i. Syiah meyakini bahawa imam-imam adalah maksum (terpelihara) daripada dosa kecil dan dosa besar dari peringkat kanak-kanak hinggalah meninggal dunia.

ii. Menurut mereka imam sama seperti Nabi, tidak melakukan kesalahan, tidak lupa serta dianggap sebagai pemelihara syariat. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Syiah Fi al-Mizan oleh Muhammad Jawad Mughniah, halaman 38 dan kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 72.

4) Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-Bada').

i. Dari sudut bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesusah tersembunyi. Menurut akidah Syiah, al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya.

ii. Syiah juga menganggap ilmu Tuhan itu akan berubah dan bersesuaian dengan fenomena baru. Hal ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh Al-Khulaini, Juzu' 1, halaman 146.

5) Kemunculan semula Imam Mahdi dan Kumpulan Orang yang telah Mati untuk memberi keadilan ( Ar-Raj'ah).

i. Menurut aqidah Syiah, golongan Syiah dikehendaki mempercayai bahawa Allah akan menghidupkan semula orang-orang yang telah mati ke dunia bersama-sama kebangkitan Imam Mahdi untuk menghukum orang-orang yang melakukan kezaliman. Fakta ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 83.

6) Berpura-pura ( At-Taqiyyah)

i. At-Taqiyyah bermaksud menyembunyikan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta benda dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya.

ii. At-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali di dalam masalah arak dan menyapu dua khuf. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Khulaini ar-Razi, halaman 217.

7) Muhammad bin Hassan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar (al-Mahdi).

i. Mereka percaya bahawa Muhammad bin Hassan al-Askari ialah imam yang ditunggu-tunggu yang hilang dan yang akan kembali untuk memerintah dan menghukum orang-orang yang telah melakukan kezaliman.

ii. Beliau telah menghilangkan diri selama 65 tahun mulai tahun 206H - 329H. Hal ini dijelaskan dalam kitab as-Syiah Wa al-Tashih al-Sira' Baina al-Syiah Wa al-Tasyayyu' oleh Doktor Musa al-Musawi, halaman 61.

8) Saidina Ali disamatarafkan dengan Allah SWT.

i. Mereka mempercayai Ali adalah sama taraf dengan Allah di mana beliau adalah sebagai pembahagi ahli Syurga dan ahli Neraka. Perkara ini disebut di dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-khulaini, Jilid 1, halaman 197.

9) Mengkafirkan Para Sahabat.

i. Mereka mempercayai bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW semua sahabat murtad kecuali ahlul bait dan empat orang sahabat iaitu Abu Dzar, Miqdad, Salman al-Farisi dan Ammar bin Yasir. Hal ini dinyatakan dalam kitab al-Anwar al-Nu'maniah oleh al-Syed Nikmatullah al-Musawi, halaman 81.

10) Menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah Sebagai Empat Berhala Quraisy Serta Pengikut-Pengikut Mereka adalah Musuh Allah.

i. Golongan Syiah menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy dan pengikut mereka dikatakan musuh Allah. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Tafsir oleh Muhammad bin Mas'ud bin 'Iyasy al-Salami al-Samarqandi, juzu' 1, halaman 116.

11) Hanya Ali Menghimpunkan Al-Quran Dengan Sempurna.

i. Mereka menganggap bahawa tidak ada sahabat yang menghimpunkan dan menghafal al-Quran dengan sempurna kecuali Ali sahaja. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,Jilid 1, halaman 228. Al-Quran yang ada pada umat Islam sekarang sama ada di dalam mashaf atau yang dilafaz dianggap telah diseleweng. Al-Quran yang sebenarnya ada pada Saidina Ali bin Abi Thalib, kemudian beliau telah mewariskan kepada Imam yang selepasnya dan sekarang ini ada pada Imam kedua belas mereka iaitu Imam Mahdi al-Muntazar. Selepas Imam ini turun barulah al-Quran yang sebenar akan dikemukakan pada orang ramai, mengikut kepercayaan Syiah.

ii. Selain daripada itu, puak Syiah mempunyai pandangan yang khas dalam mentafsirkan al-Quran dan mentakwilkannya. Antara contoh tafsiran Syiah adalah seperti berikut :
  • Mereka mentafsirkan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 51 iaitu "dengan itu janganlah kamu menjadikan dua orang Imam sebenarnya ambillah satu imam sahaja".
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 238 dengan maksud "(al-Solah) ialah Rasulullah, Amirul Mukminin, Hasan dan Husain, manakala (al-Wusto) ialah Amirul Mukminin, (waqumu lillahi qonitin) ialah taat terhadap Imam-Imam.
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Naba' ayat 1-2. Mereka mentafsirkan (al-Naba') ialah Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib.

12)Menambah Syahadah

i. Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam Syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,jilid 1, halaman 441.


13) Menolak Hadith Yang Diriwayatkan Oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah sekalipun Hadith Mutawatir. Mereka berpegang kepada empat kitab-kitab hadith sahaja, dan dengannyalah mereka beramal untuk sepanjang zaman. Kitab tersebut adalah Al-Kafi Fi Usul Wa Al-Furu', Man La Yakhdarah Al-Faqih, Tahzib Ahkam, dan Al-Istibsor Fima Ikhtilafiyyah Min Akhbar.

i. Al-Kafi Fi Usul Wa al-Furu', karangan Muhammad bin Yaakub Al-Khulaini, digelar oleh puak Syiah sebagai Thiqah AL-Islam. Kitab ini adalah kitab yang terulung agama Syiah. Periwayatannya disandarkan terus kepada salah seorang Imam 12 bukannya kepada Rasulullah SAW.

ii. Mereka berpendapat bahawa tiada bezanya di antara imam-imam itu dengan Rasulullah SAW. Imam yang paling banyak disandarkan kepadanya ialah Imam Jaafar As-Sodiq. Kitab ini mengandungi riwayat-riwayat yang menghina dan mengaibkan Al-Quran dengan mengatakan ianya ada kekurangan dan terseleweng.

iii. Mereka hanya berpegang dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bait.

iv. Mereka juga pantang menerima apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Samurah b. jundub, Marwan b. al-Hakam, Imran b. Hathan al-Khariji dan Amru b. al-As. Pegangan ini disebutkan di dalam buku Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad al-Husain Aali Kasyif al-Ghita', halaman 149.

Monday, March 26, 2012

SYIAH DI MALAYSIA

Di antara puak Syiah yang banyak sepanjang sejarah mereka, yang masih kekal sehingga ke hari ini ialah tiga kumpulan iaitu Syiah Imam Dua Belas (Ja'fariyyah), Al-Ismailiah, dan Al-zaidiah.

Sebahagian pengkaji berpendapat bahawa sekiranya istilah Syiah disebut ia terus merujuk kepada Syiah Al-Imamiah dua belas atau selain mereka sama ada Syiah Al-Ismailiah atau AL-Zaidiah. Ini ialah kerana sumber-sumber rujukan Syiah Al-Imamiah dua belas mengandungi kebanyakan pendapat dan prinsip puak-puak Syiah yang lain. Syiah Imam Dua Belas dikenali juga dengan Ja'fariyyah merupakan golongan Syiah yang terbesar yang wujud sehingga ke hari ini.

Umumnya umat Islam di malaysia adalah pengikut mazhab Syafe'i dan tiada pengetahuan tentang mazhab Ahlus Sunnah yang lain apatah lagi untuk memahami mazhab Syiah yang mereka tidak ada kaitan langsung dengannya. Gelombang Syiah di Malaysia berkembang selepas berlakunya peristiwa Revolusi Iran pada tahun 1979. Pada masa tersebut, di lihat ramai pengkaji-pengkaji di Malaysia pergi ke Iran untuk belajar apakah hakikat atau rahsia revolusi tersebut. Akhirnya daripada belajar hakikat revolusi berpindah kepada anutan puak-puak yang yang melancarkan revolusi tersebut. Dalam keadaan ini, umat Islam di Malaysia yang tidak mempunyai maklumat tentang agama Syiah tidak menyedari hakikat-hakikat sebenar, niat-niat tersembunyi di sebalik pendekatan yang bermula dengan strategik dan slogan mendekatkan hubungan antara mazhab-mazhab dan percantuman budaya serta tamadun di antara bangsa-bangsa (di samping tiada permusuhan di antara mazhab-mazhab di dalam Islam), juga slogan yang selalu dilaungkan iaitu "mempertahankan Palestin", "Mengembalikan al-Aqsa". Umat Islam di Malaysia tidak mengetahui tentang agama Syiah ini melainkan ianya satu mazhab Islam, pengikutnya sembahyang, melakukan puasa, menunaikan haji dan mencintai para keluarga Rasulullah SAW (Ahlul bait).

Di Malaysia terdapat tiga kumpulan Syiah, iaitu :

1. Syiah Taiyibi Bohra ( Dawood Bohra)

Berasal dari India. Di Malaysia dikenali sebagai Golongan yang memiliki 'kedai Bombay'. Berpusat di Klang, mempunyai tanah perkuburan dan masjid sendiri.

2. Syiah Ismailiah Agha Khan

Dikenali sebagai nama 'Kedai Pheerbai' dan bergerak sekitar Lembah Klang. Jumlah pengikutnya lebih kecil dari Kelompok Bohra.

3. Syiah Ja'fariyyah @ Imamiah Ithna Assyariyyah (Imam Dua Belas)

Mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Beberapa orang pensyarah Universiti tempatan turut berperanan dalam menyebarkan fahaman ini secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi.

Beberapa kitab utama Syiah telah dijadikan rujukan dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, antaranya ialah :

  • Kasyful Asrar oleh Ayatullah Al-Khomeini.
  • Al- Hukumah Al-Islamiah oleh Ayatullah Al-Khomeini.
  • As-Sab'ah min As-Salaf oleh Ayatullah Al- Murtadza Az-Zubaidi.
  • Al- Usul Min Al-Kafi oleh Syeikh Muhammad bin Yaacob A-Khulaini.
  • Tahrir Al- Wasilah oleh Ayatullah Al-Khomeini
  • Al-Muraja'at oleh Al-Syeikh Abdul Husin Syarafuddin Al-Musawi.
  • Penshawar nights oleh As Sayyid Muhammad Rais Al-Wahidin.
  • Mafatihul Jinan oleh Syeikh Abbas Al-Qummi.
  • Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh Al-Hasan bin Yusuf Al-mutahhar Al-Hulliyy diterjemah oleh prof madya Dr Lutpi Ibrahim.
  • Mengapa Aku memilih Ahlul Bait a.s.? oleh Syeikh Muhammad Mar'i Al-Amin Al-Antaki diterjemah oleh Prof Madya Dr Lutpi Ibrahim.



Thursday, March 22, 2012

KUMPULAN-KUMPULAN SYIAH

Di kalangan Puak-puak Syiah, mereka berselisih pendapat sesama sendiri sehingga berpecah kepada beberapa kumpulan. Walau bagaimanapun, satu perkara yang menyatukan mereka adalah pandangan mereka terhadap Imam bagi Saidina Ali r.a. dengan cara dalil nas dan juga wasiat dari Rasulullah SAW samada dalam bentuk terus terang mahupun cara tersembunyi. Imam ini kemudian diwarisi turun temurun kepada Saidina Ali r.a.

Antara faktor yang membawa kepada perpecahan mereka adalah perbezaan dari segi prinsip dan ajaran-ajaran seperti bersikap ekstrim sehingga memberikan Imam-imam sifat suci dan keterlaluan mengkafirkan pihak yang berselisih dengan Saidina Ali r.a. dan kumpulannya. Manakala setengah pihak yang lain lebih bersikap sederhana dengan hanya menganggap mereka yang menyalahi Saidina Ali r.a. adalah salah, tetapi bukan kafir.

Faktor perpecahan Syiah yang kedua adalah perbezaan dalam menentukan imam. Mereka berselisih pendapat tentang siapa imam-imam di kalangan keturunan Saidina Ali r.a. Oleh kerana perpecahan ini, para ulama membahagikan mereka kepada 4 Kumpulan besar mengikut aqidah dan pegangan setiap puak. Mereka dikategorikan berdasarkan aqidah dan pegangan yang sama seperti berikut.

1. Ghulat ( Pelampau)

Mereka adalah kumpulan yang berpegang bahawa Saidina Ali adalah manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu sahaja, mereka menambah dalam aqidah mereka apa yang menyebabkan mereka terkeluar daripada Islam. Sebahagian mereka mengangkat Saidina Ali ke tahap kenabian, sebahagian lain menjadi terlalu ekstrim sehingga mengangkat Saidina Ali ke tahap ketuhanan.

Termahsyur dari kumpulan ini ialah 11 puak, iaitu :-

As- Saba'iah, Al-Kamiliah, Al-'Ali-iah, Al- Mughiriah, Al-Mansuriah, Al-Khitabiah,Al-kibalah, Al- Hisyamiah, Al- Ni'maniah, Al-Yunusiah, dan Al-Nasiriah.

2. Al-Kaisaniah

Mereka adalah pengikut Kaisan Maula Amirul Mukminin Ali, murid kepada As-Sayyid Muhammad bin Al-Hanafiah. Mereka berpegang bahawa Muhammad bin Al-Hanafiah adalah imam. Mereka juga mengatakan harus bagi Allah mempunyai satu permulaan wujud. Menurut mereka agama itu adalah ketaatan seseorang itu. Pendirian begini menjadikan mereka melampau terhadap hak-hak imam sehingga menganggap bahawa para imam adalah suci.

Kumpulan ini terbahagi kepada Al-Mukhtariah, Al-Hasyimiah, Al-Bananiah dan Al-Rizamiah.

3. Al- Zaidiah

Mereka adalah pengikut-pengikut Zaid bin Ali bin AL-Husain bin Ali bin Abu Thalib. Mereka digelar sebagai Zaidiah kerana mereka berpegang kepada kata-kata Zaid bin Ali yang mengutamakan Ali bin Abu Thalib lebih daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Beliau juga memperakui Abu Bakar dan Umar sebagai Khalifah dan berpendapat bahawa harus bagi umat Islam menentang imam-imam yang zalim. Apabila beliau berada di kalangan pengikut-pengikutnya dan mendengar ada yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau mengingkari orang yang mencela itu. Mereka yang telah memberi bai'ah kepadanya meninggalkannya. Nama Zaidiah kekal diberi kepada pengikut-pengikut yang setia bersamanya.

Imam pada pegangan puak ini adalah daripada keturunan Fatimah dan tidak boleh berpindah kepada selain dari keturunan Fatimah. Mereka mengharuskan imam selain daripada keturunan Al-Hasan dan Al-Husain dengan syarat seorang itu mesti berilmu,zuhud, berani dan pemurah yang wajib ditaati. Mereka adalah puak Syiah yang mempunyai pegangan yang paling hampir kepada Ahli Sunnah kerana mereka menerima khalifah Abu Bakar dan Umar kecuali satu kumpulan daripada mereka yang dinamakan Al-Jarudiah.

Puak yang mahsyur daripada kumpulan ini Al-Jarudiah, Al-Sulaimaniah, Al-Solihiah dan Al-Banziah.

4. Al-Imamiah

Mereka adalah orang yang berpegang kepada pendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas menyebut nama Ali. Asy-Syahrastani mendefinisikan mereka dalam buku al-malal dan Al-Nahl dengan berkata; "...Al-Imamiah adalah mereka yang berpendapat bahawa Ali adalah Imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas dan bukan dengan cara isyarat dengan sifat-sifat tertentu tetapi dengan lantikan yang jelas..."

Di antara kumpulan-kumpulan Syiah Al-Imamiah ialah :-

Al-Imam dua belas : Mereka dinamakan demikian kerana mereka mempercayai bahawa terdapat 12 imam selepas Rasulullah SAW. Imam-imam ini bagi mereka merupakan kebanyakan Imam-imam Syiah di kalangan puak Syiah di dunia sekarang yang dikenali sebagai Al- Imamiah ia bererti Imam dua belas.

Al-Ismailiah : Mereka adalah puak Syiah yang berpendapat bahawa imam selepas Jaafar adalah anaknya Ismail bin Jaafar. Selepas kematian Ismail mereka berpecah menjadi dua kumpulan. Pertama adalah kumpulan yang menunggu-nunggu kemunculan Ismail bin Jaafar kerana mereka percaya bahawa Ismail tidak mati. Kumpulan kedua pula mempercayai bahawa imam selepas jaafar adalah Muhammad bin Ismail kerana Jaafar telah melantik anaknya sebagai Imam selepasnya. Apabila Ismail meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup mereka percaya bahawa Jaafar melantik anaknya Ismail sebagai imam sebenarnya untuk menunjukkan bahawa imam selepasnya sebenarnya adalah Muhammad bin Ismail. Kemudian mereka berpecah menjadi kumpulan yang banyak dengan pandangan yang pelbagai. Mereka juga mempunyai gelaran yang banyak. Di antara yang termahsyur adalah Al-Bathiniah kerana bagi mereka setiap hukum yang zahir ada batinnya atau kerana mereka berpendapat bahawa imam juga wujud dalam keadaan batin atau terselindung.

SEJARAH KELAHIRAN SYIAH

Syiah sebagai suatu aqidah dan pemikiran tidak lahir sekaligus. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan melalui beberapa peringkat. Kebanyakan kelahiran kumpulan-kumpulan Islam berkait rapat dengan peristiwa bersejarah yang dilalui umat Islam. Ramai pengkaji dahulu dan sekarang menegaskan bahawa Ibnu Saba' adalah pengasas bagi agama Syiah. Namanya disebut secara mutawatir dalam kitab-kitab ahli sunnah dan juga kitab-kitab syiah.

Abdullah bin Saba' adalah seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah saba-iah yang merupakan golongan Syiah Pelampau. Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman saidina uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahasa Ibnu Saba' adalah orang yang pertama menzahirkan caci cela terhadap Abu Bakar,Umar dan Uthman r.a. Ibnu Saba' juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi Imam, dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi SAW untuk menjadi Imam. Ini merupakan asas tasyayyu' seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah sebagaimana definisi Syiah didalam post ana yang lalu.

Kemudian peristiwa-peristiwa yang terjadi seperti kewafatan Rasulullah SAW dan mesyuarat Al-Thaqifah, di mana Saidina Ali r.a tidak menghadirinya untuk memberi bai'ahnya pada awal lagi, peperangan Siffin, Majlis Tahkim, fitnah yang berlaku pada zaman Saidina Uthman r.a yang berakhir dengan pembunuhan, dan peristiwa pembunuhan Saidina Husain r.a menyebabkan hati-hati dan perasaan umat Islam menyebelahi Ahlul bait. Kefahaman asing melalui konsep tasyayyu' kemudian mula meresap dan digunakan sebagai salah satu helah bagi pihak yang hendak menghancurkan Islam daripada golongan mulhid, munafiq, dan thaghut.

Dr. Nasir bin Abdullah bin Ali Al-Ghafari menyatakan bahawa "...sebahagian prinsip aqidah bagi syiah lahir pada tangan Abdullah bin Saba', tetapi tidak timbul dalam bentuk kumpulan atau nama tasyayyu'. Selepas berlaku peristiwa-peristiwa yang disebutkan tadi, terutamanya selepas pembunuhan Al-Husain, Syiah mula menonjol sebagai satu kumpulan yang berkembang untuk membentuk agamanya berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Seterusnya pandangan yang dilontarkan oleh Ibnu Saba' mula mendapat tempat di dalam suasana pemikiran Syiah ini"..
( Nasir bin Abdullah bin Ali Al-Ghafari, Masalatul al-Taqrib baina Ahlul Sunnah wa al- Syiah, halaman 142)

SUMBER PRINSIP TASYAYYU'


Para Pengkaji berbeza pendapat tentang sumber bagi prinsip tasyayyu' seperti berikut :
  1. Pendapat mengatakan bahawa ia berasal dari ajaran Yahudi.
  2. Pendapat mengatakan ia berasal dari ajaran Parsi.
  3. Pendapat mengatakan ia berasal dari prinsip-prinsip aqidah dari kawasan Asia Klasik seperti ajaran Buddha dan selainnya.

Definisi Syiah

Assalamualaikum..

Alhamdulillah dengan hidayah dan taufik daripadaNYA..saya kembali ke ruang warkah bisu alam maya ini.. Insya'Allah, ana akan kembali menulis beberapa artikel berhubung dengan SYIAH.. Di dalam post kali ini ana akan menerangkan apakah definisi Syiah ini.. Semoga bermanfaat,insya'Allah..

Definisi Syiah


Segi Bahasa


Dalam bentuk kata kerja "shayya'a",bererti menyokong. Kata kerja ini juga bermaksud, `menolong dan bergabung'. Al- Azhari menyebut bahawa,Syiah ialah penolong-penolong seseorang dan pengikutnya. Penggunaan perkataan Syiah adalah untuk menunjukkan makna kumpulan manusia yang saling mengikut satu sama lain.

Segi Istilah

Syiah bermaksud mereka yang mendakwa menyokong Saidina Ali, dan berpegang bahawa Imam dan khalifah itu khusus bagi Saidina Ali, secara dalil nas dan melalui wasiat Rasulullah SAW, sama ada secara jelas atau sebaliknya. Mereka juga berpegang bahawa Imam itu tidak akan beralih tangan kepada selain daripada anak-anak keturunan Saidina Ali. Sekiranya berlaku perpindahan kepimpinan itu kepada selain daripada keturunan Saidina Ali, maka ini merupakan suatu kezaliman dari pihak yang menerima kepimpinan itu, atau sebagai suatu pelaksanaan pendekatan "taqiyyah" daripada pihak keturunan Saidina Ali.




About Me

My Photo
slash
Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
View my complete profile

Makluman!!

Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.

Islamic Widget

Followers