Monday, March 26, 2012

SYIAH DI MALAYSIA

Di antara puak Syiah yang banyak sepanjang sejarah mereka, yang masih kekal sehingga ke hari ini ialah tiga kumpulan iaitu Syiah Imam Dua Belas (Ja'fariyyah), Al-Ismailiah, dan Al-zaidiah.

Sebahagian pengkaji berpendapat bahawa sekiranya istilah Syiah disebut ia terus merujuk kepada Syiah Al-Imamiah dua belas atau selain mereka sama ada Syiah Al-Ismailiah atau AL-Zaidiah. Ini ialah kerana sumber-sumber rujukan Syiah Al-Imamiah dua belas mengandungi kebanyakan pendapat dan prinsip puak-puak Syiah yang lain. Syiah Imam Dua Belas dikenali juga dengan Ja'fariyyah merupakan golongan Syiah yang terbesar yang wujud sehingga ke hari ini.

Umumnya umat Islam di malaysia adalah pengikut mazhab Syafe'i dan tiada pengetahuan tentang mazhab Ahlus Sunnah yang lain apatah lagi untuk memahami mazhab Syiah yang mereka tidak ada kaitan langsung dengannya. Gelombang Syiah di Malaysia berkembang selepas berlakunya peristiwa Revolusi Iran pada tahun 1979. Pada masa tersebut, di lihat ramai pengkaji-pengkaji di Malaysia pergi ke Iran untuk belajar apakah hakikat atau rahsia revolusi tersebut. Akhirnya daripada belajar hakikat revolusi berpindah kepada anutan puak-puak yang yang melancarkan revolusi tersebut. Dalam keadaan ini, umat Islam di Malaysia yang tidak mempunyai maklumat tentang agama Syiah tidak menyedari hakikat-hakikat sebenar, niat-niat tersembunyi di sebalik pendekatan yang bermula dengan strategik dan slogan mendekatkan hubungan antara mazhab-mazhab dan percantuman budaya serta tamadun di antara bangsa-bangsa (di samping tiada permusuhan di antara mazhab-mazhab di dalam Islam), juga slogan yang selalu dilaungkan iaitu "mempertahankan Palestin", "Mengembalikan al-Aqsa". Umat Islam di Malaysia tidak mengetahui tentang agama Syiah ini melainkan ianya satu mazhab Islam, pengikutnya sembahyang, melakukan puasa, menunaikan haji dan mencintai para keluarga Rasulullah SAW (Ahlul bait).

Di Malaysia terdapat tiga kumpulan Syiah, iaitu :

1. Syiah Taiyibi Bohra ( Dawood Bohra)

Berasal dari India. Di Malaysia dikenali sebagai Golongan yang memiliki 'kedai Bombay'. Berpusat di Klang, mempunyai tanah perkuburan dan masjid sendiri.

2. Syiah Ismailiah Agha Khan

Dikenali sebagai nama 'Kedai Pheerbai' dan bergerak sekitar Lembah Klang. Jumlah pengikutnya lebih kecil dari Kelompok Bohra.

3. Syiah Ja'fariyyah @ Imamiah Ithna Assyariyyah (Imam Dua Belas)

Mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Beberapa orang pensyarah Universiti tempatan turut berperanan dalam menyebarkan fahaman ini secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi.

Beberapa kitab utama Syiah telah dijadikan rujukan dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, antaranya ialah :

  • Kasyful Asrar oleh Ayatullah Al-Khomeini.
  • Al- Hukumah Al-Islamiah oleh Ayatullah Al-Khomeini.
  • As-Sab'ah min As-Salaf oleh Ayatullah Al- Murtadza Az-Zubaidi.
  • Al- Usul Min Al-Kafi oleh Syeikh Muhammad bin Yaacob A-Khulaini.
  • Tahrir Al- Wasilah oleh Ayatullah Al-Khomeini
  • Al-Muraja'at oleh Al-Syeikh Abdul Husin Syarafuddin Al-Musawi.
  • Penshawar nights oleh As Sayyid Muhammad Rais Al-Wahidin.
  • Mafatihul Jinan oleh Syeikh Abbas Al-Qummi.
  • Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh Al-Hasan bin Yusuf Al-mutahhar Al-Hulliyy diterjemah oleh prof madya Dr Lutpi Ibrahim.
  • Mengapa Aku memilih Ahlul Bait a.s.? oleh Syeikh Muhammad Mar'i Al-Amin Al-Antaki diterjemah oleh Prof Madya Dr Lutpi Ibrahim.



Thursday, March 22, 2012

KUMPULAN-KUMPULAN SYIAH

Di kalangan Puak-puak Syiah, mereka berselisih pendapat sesama sendiri sehingga berpecah kepada beberapa kumpulan. Walau bagaimanapun, satu perkara yang menyatukan mereka adalah pandangan mereka terhadap Imam bagi Saidina Ali r.a. dengan cara dalil nas dan juga wasiat dari Rasulullah SAW samada dalam bentuk terus terang mahupun cara tersembunyi. Imam ini kemudian diwarisi turun temurun kepada Saidina Ali r.a.

Antara faktor yang membawa kepada perpecahan mereka adalah perbezaan dari segi prinsip dan ajaran-ajaran seperti bersikap ekstrim sehingga memberikan Imam-imam sifat suci dan keterlaluan mengkafirkan pihak yang berselisih dengan Saidina Ali r.a. dan kumpulannya. Manakala setengah pihak yang lain lebih bersikap sederhana dengan hanya menganggap mereka yang menyalahi Saidina Ali r.a. adalah salah, tetapi bukan kafir.

Faktor perpecahan Syiah yang kedua adalah perbezaan dalam menentukan imam. Mereka berselisih pendapat tentang siapa imam-imam di kalangan keturunan Saidina Ali r.a. Oleh kerana perpecahan ini, para ulama membahagikan mereka kepada 4 Kumpulan besar mengikut aqidah dan pegangan setiap puak. Mereka dikategorikan berdasarkan aqidah dan pegangan yang sama seperti berikut.

1. Ghulat ( Pelampau)

Mereka adalah kumpulan yang berpegang bahawa Saidina Ali adalah manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu sahaja, mereka menambah dalam aqidah mereka apa yang menyebabkan mereka terkeluar daripada Islam. Sebahagian mereka mengangkat Saidina Ali ke tahap kenabian, sebahagian lain menjadi terlalu ekstrim sehingga mengangkat Saidina Ali ke tahap ketuhanan.

Termahsyur dari kumpulan ini ialah 11 puak, iaitu :-

As- Saba'iah, Al-Kamiliah, Al-'Ali-iah, Al- Mughiriah, Al-Mansuriah, Al-Khitabiah,Al-kibalah, Al- Hisyamiah, Al- Ni'maniah, Al-Yunusiah, dan Al-Nasiriah.

2. Al-Kaisaniah

Mereka adalah pengikut Kaisan Maula Amirul Mukminin Ali, murid kepada As-Sayyid Muhammad bin Al-Hanafiah. Mereka berpegang bahawa Muhammad bin Al-Hanafiah adalah imam. Mereka juga mengatakan harus bagi Allah mempunyai satu permulaan wujud. Menurut mereka agama itu adalah ketaatan seseorang itu. Pendirian begini menjadikan mereka melampau terhadap hak-hak imam sehingga menganggap bahawa para imam adalah suci.

Kumpulan ini terbahagi kepada Al-Mukhtariah, Al-Hasyimiah, Al-Bananiah dan Al-Rizamiah.

3. Al- Zaidiah

Mereka adalah pengikut-pengikut Zaid bin Ali bin AL-Husain bin Ali bin Abu Thalib. Mereka digelar sebagai Zaidiah kerana mereka berpegang kepada kata-kata Zaid bin Ali yang mengutamakan Ali bin Abu Thalib lebih daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Beliau juga memperakui Abu Bakar dan Umar sebagai Khalifah dan berpendapat bahawa harus bagi umat Islam menentang imam-imam yang zalim. Apabila beliau berada di kalangan pengikut-pengikutnya dan mendengar ada yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau mengingkari orang yang mencela itu. Mereka yang telah memberi bai'ah kepadanya meninggalkannya. Nama Zaidiah kekal diberi kepada pengikut-pengikut yang setia bersamanya.

Imam pada pegangan puak ini adalah daripada keturunan Fatimah dan tidak boleh berpindah kepada selain dari keturunan Fatimah. Mereka mengharuskan imam selain daripada keturunan Al-Hasan dan Al-Husain dengan syarat seorang itu mesti berilmu,zuhud, berani dan pemurah yang wajib ditaati. Mereka adalah puak Syiah yang mempunyai pegangan yang paling hampir kepada Ahli Sunnah kerana mereka menerima khalifah Abu Bakar dan Umar kecuali satu kumpulan daripada mereka yang dinamakan Al-Jarudiah.

Puak yang mahsyur daripada kumpulan ini Al-Jarudiah, Al-Sulaimaniah, Al-Solihiah dan Al-Banziah.

4. Al-Imamiah

Mereka adalah orang yang berpegang kepada pendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas menyebut nama Ali. Asy-Syahrastani mendefinisikan mereka dalam buku al-malal dan Al-Nahl dengan berkata; "...Al-Imamiah adalah mereka yang berpendapat bahawa Ali adalah Imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas dan bukan dengan cara isyarat dengan sifat-sifat tertentu tetapi dengan lantikan yang jelas..."

Di antara kumpulan-kumpulan Syiah Al-Imamiah ialah :-

Al-Imam dua belas : Mereka dinamakan demikian kerana mereka mempercayai bahawa terdapat 12 imam selepas Rasulullah SAW. Imam-imam ini bagi mereka merupakan kebanyakan Imam-imam Syiah di kalangan puak Syiah di dunia sekarang yang dikenali sebagai Al- Imamiah ia bererti Imam dua belas.

Al-Ismailiah : Mereka adalah puak Syiah yang berpendapat bahawa imam selepas Jaafar adalah anaknya Ismail bin Jaafar. Selepas kematian Ismail mereka berpecah menjadi dua kumpulan. Pertama adalah kumpulan yang menunggu-nunggu kemunculan Ismail bin Jaafar kerana mereka percaya bahawa Ismail tidak mati. Kumpulan kedua pula mempercayai bahawa imam selepas jaafar adalah Muhammad bin Ismail kerana Jaafar telah melantik anaknya sebagai Imam selepasnya. Apabila Ismail meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup mereka percaya bahawa Jaafar melantik anaknya Ismail sebagai imam sebenarnya untuk menunjukkan bahawa imam selepasnya sebenarnya adalah Muhammad bin Ismail. Kemudian mereka berpecah menjadi kumpulan yang banyak dengan pandangan yang pelbagai. Mereka juga mempunyai gelaran yang banyak. Di antara yang termahsyur adalah Al-Bathiniah kerana bagi mereka setiap hukum yang zahir ada batinnya atau kerana mereka berpendapat bahawa imam juga wujud dalam keadaan batin atau terselindung.

SEJARAH KELAHIRAN SYIAH

Syiah sebagai suatu aqidah dan pemikiran tidak lahir sekaligus. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan melalui beberapa peringkat. Kebanyakan kelahiran kumpulan-kumpulan Islam berkait rapat dengan peristiwa bersejarah yang dilalui umat Islam. Ramai pengkaji dahulu dan sekarang menegaskan bahawa Ibnu Saba' adalah pengasas bagi agama Syiah. Namanya disebut secara mutawatir dalam kitab-kitab ahli sunnah dan juga kitab-kitab syiah.

Abdullah bin Saba' adalah seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah saba-iah yang merupakan golongan Syiah Pelampau. Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman saidina uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahasa Ibnu Saba' adalah orang yang pertama menzahirkan caci cela terhadap Abu Bakar,Umar dan Uthman r.a. Ibnu Saba' juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi Imam, dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi SAW untuk menjadi Imam. Ini merupakan asas tasyayyu' seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah sebagaimana definisi Syiah didalam post ana yang lalu.

Kemudian peristiwa-peristiwa yang terjadi seperti kewafatan Rasulullah SAW dan mesyuarat Al-Thaqifah, di mana Saidina Ali r.a tidak menghadirinya untuk memberi bai'ahnya pada awal lagi, peperangan Siffin, Majlis Tahkim, fitnah yang berlaku pada zaman Saidina Uthman r.a yang berakhir dengan pembunuhan, dan peristiwa pembunuhan Saidina Husain r.a menyebabkan hati-hati dan perasaan umat Islam menyebelahi Ahlul bait. Kefahaman asing melalui konsep tasyayyu' kemudian mula meresap dan digunakan sebagai salah satu helah bagi pihak yang hendak menghancurkan Islam daripada golongan mulhid, munafiq, dan thaghut.

Dr. Nasir bin Abdullah bin Ali Al-Ghafari menyatakan bahawa "...sebahagian prinsip aqidah bagi syiah lahir pada tangan Abdullah bin Saba', tetapi tidak timbul dalam bentuk kumpulan atau nama tasyayyu'. Selepas berlaku peristiwa-peristiwa yang disebutkan tadi, terutamanya selepas pembunuhan Al-Husain, Syiah mula menonjol sebagai satu kumpulan yang berkembang untuk membentuk agamanya berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Seterusnya pandangan yang dilontarkan oleh Ibnu Saba' mula mendapat tempat di dalam suasana pemikiran Syiah ini"..
( Nasir bin Abdullah bin Ali Al-Ghafari, Masalatul al-Taqrib baina Ahlul Sunnah wa al- Syiah, halaman 142)

SUMBER PRINSIP TASYAYYU'


Para Pengkaji berbeza pendapat tentang sumber bagi prinsip tasyayyu' seperti berikut :
  1. Pendapat mengatakan bahawa ia berasal dari ajaran Yahudi.
  2. Pendapat mengatakan ia berasal dari ajaran Parsi.
  3. Pendapat mengatakan ia berasal dari prinsip-prinsip aqidah dari kawasan Asia Klasik seperti ajaran Buddha dan selainnya.

About Me

My Photo
slash
Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
View my complete profile

Makluman!!

Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.

Islamic Widget

Followers