Wednesday, March 28, 2012

PENYELEWENGAN SYIAH DARI SUDUT SYARIAT

1) Menolak Ijmak Ulama.

i. Golongan Syiah tidak menerima ijmak ulama dalam perundangan Islam malah mereka berpegang kepada pendapat imam-imam mereka kerana mereka mempercayai ijmak terkandung kesalahan sedangkan pendapat imam adalah maksum. Kenyataan ini dijelaskan dalam buku Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna Asyariyyah oleh Shah Abdul Aziz al-Imam Waliyullah Ahmad Abdul Rahim ad-Dahlawi, halaman 51.

2) Menolak Qias.

i. Golongan ini juga menolak qias. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin al-Husain Aali Khasif al-Ghita', halaman 149.

3) Mengamalkan Nikah Mut'ah.

i. Golongan Syiah masih meneruskan amalan nikah Mut'ah yang diamalkan sejak zaman Jahiliyyah sehingga sekarang. Mereka berpendapat nikah Mut'ah adalah diharuskan dalam syariat Islam. Ciri-ciri nikah Mut'ah yang diamalkan oleh golongan Syiah adalah akad, tempoh dan mahar. Berikut adalah huraian ciri-ciri nikah Mut'ah golongan Syiah :

  • Dalam nikah Mut'ah ditetapkan tempoh tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sama ada sebulan, setahun, atau sehari. Nikah Mut'ah juga boleh dilakukan dalam tempoh satu jam, dua jam, sehari,dua hari atau semalaman.
  • Nikah Mut'ah boleh dilakukan dengan perempuan Yahudi, Nasrani, Majusi, anak dara tanpa izin bapanya dan juga perempuan pelacur. Dalam nikah Mut'ah juga tidak ditentukan bilangan wanita yang diMut'ahkan, boleh dilakukan sehingga seribu orang wanita.
  • Sewaktu akad hendaklah disebutkan mahar dan tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak. Sekurang-kurang mahar ialah semangkuk gula atau segenggam makanan dan sebagainya.
ii. Nikah Mut'ah yang digunakan golongan Syiah ini terkandung di dalam kitab al-Nihayah Fi Mujarrad al-Fiqh Wa al-Fatawa oleh Abu Ja'far Muhammad b. al-Hasan b. Ali al-Tusi, halaman 489-491 serta kitab Tahzib al-Ahkam oleh Abu ja'far Muhammad b. al-Hasan al-Tusi, halaman 254,259 dan 266.

4) Menolak 'Aul dan mendahulukan Qurabah dari 'Asobah dalam Masalah Pusaka.

i. Dalam pembahagian harta pusaka, feqah Syiah tidak menerima 'aul yang telah diasaskan oleh Khalifah Umar al-khattab. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hassan bin Yusuf al-Mutahhar al-hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 100-101.

5) Mengharuskan Jamak Sembahyang Dalam Semua Keadaan.

i. Golongan Syiah mengharuskan jamak sembahyang fardhu iaitu Zohor dan Asar dalam waktu Asar, Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab permusafiran. Perkara ini disebutkan di dalam buku Minhaj Kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 36.

6) Menetapkan Prinsip Khumus sebagai Kadar Zakat.

i. Golongan Syiah menetapkan 1/5 sebagai kadar zakat. Mereka juga menetapkan kadar itu pada harta rampasan perang dan lain-lain. Perkara-perkara ini terkandung di dalam kitab Tahzib al-Ahkam karangan Abu Ja'far Muhammad bin al-Hasan al-Tusi, halaman 122 dan buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan Prof. Madya Dr.Lutpi Ibrahim, halaman 48.

7) Sembahyang Dhuha adalah Bid'ah.

i. Golongan Syiah mendakwa sembahyang Dhuha adalah Bid'ah. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 31.

8) Islam bukanlah Syarat Wajibnya Haji.

i. Syiah mendakwa Islam bukanlah syarat wajibnya haji. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliy, terjemahan oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 55.

9) Qunut adalah Sunat, Ianya dilakukan Sebelum Rukuk.

i. Golongan Syiah mendakwa Qunut adalah sunat, ianya dilakukan sebelum rukuk. Perkara ini disebutkan didalam buku Minhaj kebenaran dan pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di Antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 30-31.

10) Wajib Menyapu Kedua-dua Kaki dan Tidak Memadai Basuh Kedua-duanya.

i. Syiah juga mendakwa wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya. Hal ini dijelaskan di dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 13-14.


Tuesday, March 27, 2012

MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH

Soalan: Dr Asri, menjelang bulan Muharram, kita umat Islam akan memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, di mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bolehkah Dr bincangkan hikmah Nabi s.a.w memilih bulan Muharram sebagai bulan hijrah baginda? Apakah lagi yang patut kita lakukan untuk menyambut bulan hijrah ini selain dari apa yang biasa masyarakat kita lakukan?

Nasir, Kuantan.


Jawapan Dr MAZA: Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa perkara berikut;

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.

Sumber : http://drmaza.com/home/?p=1297

 

ASPEK PENYELEWANGAN SYIAH

Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Terdapat penyelewengan daripada pelbagai sudut, antaranya aqidah, syariah dan umum.

PENYELEWENGAN DARIPADA SUDUT AQIDAH

1) Khalifah diwasiatkan secara Nas

i. Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasul-NYA secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 78.

ii. Syiah juga mempercayai wasi ( orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat) Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Perkara ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin Husain Ali Kasyif al-Ghita', halaman 136.

2) Imamah dan khalifah sebahagian daripada Rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj kebenaran dan Pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 145-146.

3) Imam adalah Maksum

i. Syiah meyakini bahawa imam-imam adalah maksum (terpelihara) daripada dosa kecil dan dosa besar dari peringkat kanak-kanak hinggalah meninggal dunia.

ii. Menurut mereka imam sama seperti Nabi, tidak melakukan kesalahan, tidak lupa serta dianggap sebagai pemelihara syariat. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Syiah Fi al-Mizan oleh Muhammad Jawad Mughniah, halaman 38 dan kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 72.

4) Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-Bada').

i. Dari sudut bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesusah tersembunyi. Menurut akidah Syiah, al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya.

ii. Syiah juga menganggap ilmu Tuhan itu akan berubah dan bersesuaian dengan fenomena baru. Hal ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh Al-Khulaini, Juzu' 1, halaman 146.

5) Kemunculan semula Imam Mahdi dan Kumpulan Orang yang telah Mati untuk memberi keadilan ( Ar-Raj'ah).

i. Menurut aqidah Syiah, golongan Syiah dikehendaki mempercayai bahawa Allah akan menghidupkan semula orang-orang yang telah mati ke dunia bersama-sama kebangkitan Imam Mahdi untuk menghukum orang-orang yang melakukan kezaliman. Fakta ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 83.

6) Berpura-pura ( At-Taqiyyah)

i. At-Taqiyyah bermaksud menyembunyikan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta benda dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya.

ii. At-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali di dalam masalah arak dan menyapu dua khuf. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Khulaini ar-Razi, halaman 217.

7) Muhammad bin Hassan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar (al-Mahdi).

i. Mereka percaya bahawa Muhammad bin Hassan al-Askari ialah imam yang ditunggu-tunggu yang hilang dan yang akan kembali untuk memerintah dan menghukum orang-orang yang telah melakukan kezaliman.

ii. Beliau telah menghilangkan diri selama 65 tahun mulai tahun 206H - 329H. Hal ini dijelaskan dalam kitab as-Syiah Wa al-Tashih al-Sira' Baina al-Syiah Wa al-Tasyayyu' oleh Doktor Musa al-Musawi, halaman 61.

8) Saidina Ali disamatarafkan dengan Allah SWT.

i. Mereka mempercayai Ali adalah sama taraf dengan Allah di mana beliau adalah sebagai pembahagi ahli Syurga dan ahli Neraka. Perkara ini disebut di dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-khulaini, Jilid 1, halaman 197.

9) Mengkafirkan Para Sahabat.

i. Mereka mempercayai bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW semua sahabat murtad kecuali ahlul bait dan empat orang sahabat iaitu Abu Dzar, Miqdad, Salman al-Farisi dan Ammar bin Yasir. Hal ini dinyatakan dalam kitab al-Anwar al-Nu'maniah oleh al-Syed Nikmatullah al-Musawi, halaman 81.

10) Menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah Sebagai Empat Berhala Quraisy Serta Pengikut-Pengikut Mereka adalah Musuh Allah.

i. Golongan Syiah menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy dan pengikut mereka dikatakan musuh Allah. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Tafsir oleh Muhammad bin Mas'ud bin 'Iyasy al-Salami al-Samarqandi, juzu' 1, halaman 116.

11) Hanya Ali Menghimpunkan Al-Quran Dengan Sempurna.

i. Mereka menganggap bahawa tidak ada sahabat yang menghimpunkan dan menghafal al-Quran dengan sempurna kecuali Ali sahaja. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,Jilid 1, halaman 228. Al-Quran yang ada pada umat Islam sekarang sama ada di dalam mashaf atau yang dilafaz dianggap telah diseleweng. Al-Quran yang sebenarnya ada pada Saidina Ali bin Abi Thalib, kemudian beliau telah mewariskan kepada Imam yang selepasnya dan sekarang ini ada pada Imam kedua belas mereka iaitu Imam Mahdi al-Muntazar. Selepas Imam ini turun barulah al-Quran yang sebenar akan dikemukakan pada orang ramai, mengikut kepercayaan Syiah.

ii. Selain daripada itu, puak Syiah mempunyai pandangan yang khas dalam mentafsirkan al-Quran dan mentakwilkannya. Antara contoh tafsiran Syiah adalah seperti berikut :
  • Mereka mentafsirkan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 51 iaitu "dengan itu janganlah kamu menjadikan dua orang Imam sebenarnya ambillah satu imam sahaja".
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 238 dengan maksud "(al-Solah) ialah Rasulullah, Amirul Mukminin, Hasan dan Husain, manakala (al-Wusto) ialah Amirul Mukminin, (waqumu lillahi qonitin) ialah taat terhadap Imam-Imam.
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Naba' ayat 1-2. Mereka mentafsirkan (al-Naba') ialah Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib.

12)Menambah Syahadah

i. Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam Syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,jilid 1, halaman 441.


13) Menolak Hadith Yang Diriwayatkan Oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah sekalipun Hadith Mutawatir. Mereka berpegang kepada empat kitab-kitab hadith sahaja, dan dengannyalah mereka beramal untuk sepanjang zaman. Kitab tersebut adalah Al-Kafi Fi Usul Wa Al-Furu', Man La Yakhdarah Al-Faqih, Tahzib Ahkam, dan Al-Istibsor Fima Ikhtilafiyyah Min Akhbar.

i. Al-Kafi Fi Usul Wa al-Furu', karangan Muhammad bin Yaakub Al-Khulaini, digelar oleh puak Syiah sebagai Thiqah AL-Islam. Kitab ini adalah kitab yang terulung agama Syiah. Periwayatannya disandarkan terus kepada salah seorang Imam 12 bukannya kepada Rasulullah SAW.

ii. Mereka berpendapat bahawa tiada bezanya di antara imam-imam itu dengan Rasulullah SAW. Imam yang paling banyak disandarkan kepadanya ialah Imam Jaafar As-Sodiq. Kitab ini mengandungi riwayat-riwayat yang menghina dan mengaibkan Al-Quran dengan mengatakan ianya ada kekurangan dan terseleweng.

iii. Mereka hanya berpegang dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bait.

iv. Mereka juga pantang menerima apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Samurah b. jundub, Marwan b. al-Hakam, Imran b. Hathan al-Khariji dan Amru b. al-As. Pegangan ini disebutkan di dalam buku Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad al-Husain Aali Kasyif al-Ghita', halaman 149.

About Me

My Photo
slash
Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
View my complete profile

Makluman!!

Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.

Islamic Widget

Followers