Tuesday, August 10, 2010

Syiah- Nabi-Nabi Dihukum Kerana Enggan Mengakui Walayah Ali A.S.




Terjemahan

Syi’ah: Nabi-Nabi Dihukum Kerana Enggan Mengakui Walayah Ali A.S.


Yang kelapan[2]: Abu Hamzah ath-Thumali meriwayatkan dengan katanya: “Abdullah bin ‘Umar masuk menemui Ali Zain al-‘Abidin a.s.[3] lalu berkata kepadanya: “Wahai anak kepada al-Husain! Engkaukah yang telah mengatakan bahawa Yunus bin Matta telah ditelan oleh ikan kerana walayah datukku telah dikemukakan kepadanya lalu dia enggan mengakuinya? Dia (Ali) pun menjawab: “Ya”. Dia (Ibnu Umar) berkata: “Tunjukkan kepadaku buktinya jika engkau benar”. ‘Ali pun menyuruh supaya ditutup matanya (Ibnu ‘Umar) dan mataku (perawi) dengan kain pembalut kemudian tidak lama kemudian dia memerintahkan supaya dibuka mata-mata kami. Tiba-tiba kami berada di tepian lautan yang bergelora ombaknya. Ibnu ‘Umar pun berkata: “Tuhanku! Nyawaku berada dalam genggamanmu. (Aku berserah kepada) Allah, (Aku berserah kepada) Allah terhadap jiwaku”. Kemudian ‘Ali a.s. pun berseru: “Wahai ikan (yang menelan Nabi Yunus)! Maka muncullah ikan tersebut dengan kepalanya mendongak keluar dari laut bagaikan gunung yang besar sambil berkata: “Ku sahut seruanmu, ku sahut seruanmu wahai wali Allah”. ‘Ali a.s. bertanya: “Siapakah engkau? Dia (ikan) pun menjawab: “Aku adalah ikan (yang menelan) Yunus. Tuan! Sesungguhnya tidaklah Allah mengutuskan mana-mana nabi daripada Adam sehingga datukmu Muhammad s.a.w. kecuali akan dibentangkan kepadanya walayah kamu Ahl al-Bait. Mana-mana nabi yang mengakuinya akan selamat dan terlepas dari sebarang hukuman. Sesiapa yang enggan dan ragu-ragu untuk mengakuinya akan dihukum sebagaimana musibah yang diterima oleh Adam, banjir yang dialami oleh Nuh, dilemparkan ke dalam api sebagaimana yang berlaku ke atas Ibrahim, dibuang ke dalam perigi seperti berlaku kepada Yusuf, diuji dengan bala kepada Ayyub, melakukan kesilapan seperti yang dilakukan oleh Daud sehingga Allah mengutuskan Yunus a.s. lalu Allah mewahyukan kepadanya dengan berfirman: “Wahai Yunus! Hendaklah kamu menerima walayah Amir al-Mukminin ‘Ali dan imam-imam ar-rasyidin daripada keturunannya”. Yunus pun menjawab: “Bagaimana aku akan menerima walayah orang yang tidak pernah aku melihat dan mengenalinya”. Dia pun pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah. Allah ta’ala lantas mewahyukan kepadaku (ikan) dengan firman-Nya: “Telanlah Yunus dan janganlah melemahkannya”. Dia berada di dalam perutku selama empat puluh hari mengelilingi beberapa lautan bersamaku dalam tiga kegelapan[4] dalam keadaan ia terus menyeru:


لاَّ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ


“Tiada tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dari kalangan orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Sesungguhnya aku telah menerima walayah ‘Ali bin Abi Talib dan imam-imam dari keturunannya a.s.”. Setelah ia beriman dengan walayah kamu tuhanku telah memerintahkanku supaya mencampakkannya ke tebing laut”. ‘Ali Zain al-Abidin a.s. pun berkata: “Kembalilah wahai ikan ke tempat tinggalmu”.

(Rujukan: Sayyid Ni’mat Allah al-Musawi al-Jazairi al-Anwar an-Nu’maniyyah jil. 1 hal. 24, 25 dan Mulla Baqir al-Majlisi Bihar al-Anwar jil. 61 hal. 52)

Kesimpulan:

  1. Syi’ah beri’tiqad bahawa mengakui dan menerima walayah Ali bin Abi Talib r.a. dan anak cucunya adalah merupakan satu kewajipan kepada sekalian manusia termasuk kepada nabi-nabi.
  2. Syi’ah telah menghina nabi-nabi dengan mengatakan mereka telah dihukum oleh Allah ta’ala kerana semata-mata tidak menerima walayah ‘Ali bin Abi Talib dan anak cucunya.
  3. Syi’ah beri’itqad bahawa kedudukan nabi-nabi adalah lebih rendah daripada kedudukan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w.
  4. Syi’ah mengatakan nabi-nabi telah melakukan perkara yang telah membatalkan keimanan mereka iaitu enggan menerima kepercayaan kepada imam-imam maksum dari kalangan anak cucu ‘Ali bin Abi Talib r.a.
________________________________________________________________________________________________
  • Iaitu kepercayaan bahawa ‘Ali dan anak cucunya adalah dua belas orang imam yang dilantik berdasarkan nas dari pihak Allah dan mereka adalah maksum terpelihara dari dosa kecil dan besar serta dari lupa dan lalai dan lain-lain mengikut sebagaimana yang dipercayai oleh penganut Syi’ah.
  • Pengarang mengemukakan beberapa bukti kebenaran dan kebesaran imam-imam Ahl al-Bait di sisi Syi’ah.
  • Beliau ialah `Ali Zain al-`Abidin bin Husain (wafat 94 H) yang dianggap oleh Syi’ah sebagai imam maksum keempat mereka.
  • Iaitu kegelapan laut, kegelapan malam dan kegelapan perut ikan.

Monday, August 9, 2010

Syiah: Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. Yang Utama Disiksa Di Dasar Neraka Yang Paling Bawah


TERJEMAHAN

Syi’ah Mengatakan Bahawa Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. Yang Utama Disiksa Di Dasar Neraka Yang Paling Bawah Dengan Siksaan Yang Paling Teruk.

Daripada Sulaim bin Qais al-Hilali katanya, bilamana Amir al-Mukminin a.s. (Ali) bertemu penduduk Basrah pada hari peperangan Jamal, dia pun menyeru Zubair: “Wahai Aba Abdillah! Keluarlah kepadaku”. Maka Zubair pun keluar dan bersamanya adalah Talhah lalu Ali berkata kepada keduanya: “Demi Allah, bukankah engkau berdua serta orang-orang yang berilmu dari kalangan keluarga Muhammad dan ‘Aaisyah binti Abi Bakr mengetahui bahawa setiap orang yang menyertai medan Jamal dilaknat melalui lidah Muhammad s.a.w. dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengada-adakan dusta”. Mereka berdua menjawab: “Bagaimana kami akan dilaknat sedangkan kami adalah orang yang menyertai perang Badar dan penghuni Syurga”? Maka Ali a.s. berkata: “Kalaulah aku mengetahui bahawa sesungguhnya kamu adalah ahli syurga tentu sekali aku tidak menganggap halal untuk memerangi kamu”. Zubair pun berkata kepadanya: “Bukankah engkau telah mendengar hadith Sa’id bin ‘Amr bin Nufail dan ia telah meriwayatkan bahawa dia mendengar daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sepuluh orang daripada Quraisy berada di dalam syurga”? Ali a.s. berkata: “Aku mendengar Uthman meriwayatkan demikian pada masa pemerintahannya”. Zubair pun bertanya: “Apakah dia telah mengadakan dusta atas nama Rasulullah s.a.w.”? Ali a.s. pun berkata: “Aku tidak akan menceritakan kepadamu sesuatupun sehinggalah engkau menamakan mereka”. Zubair pun berkata: “Abu Bakr, Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Abd ar-Rahman bin ‘Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah dan Sa’id bin Amr bin Nufail”. Ali a.s. pun berkata kepadanya: “Engkau membilang Sembilan sahaja. Siapakah yang kesepuluh”? Zubair pun menjawab: “Engkaulah”. Ali a.s. berkata: “Sesungguhnya aku memang mengetahui bahawa aku adalah ahli syurga, adapun dakwaanmu kepada dirimu dan sahabat-sahabatmu maka aku termasuk dari kalangan orang yang mengingkarinya”. Zubair berkata kepadanya: “Apakah dia mengadakan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.? Ali a.s. berkata: “Aku tidak fikir ia adalah dusta. Tetapi demi Allah dengan keyakinan”. Ali a.s. berkata lagi: “Demi Allah! Sesungguhnya sebahagian daripada orang yang engkau sebutkan namanya tadi pasti berada di dalam peti yang terdapat di satu lembah di dalam penjara bawah tanah[1] yang terdapat di dasar neraka yang paling bawah. Di atas penjara itu terdapat batu besar yang mana bila Allah mahu memanaskan neraka Dia akan mengangkat batu besar itu”. Aku mendengar perkara demikian daripada Rasulullah s.a.w.. Jika tidak (jika aku tidak benar) Allah akan memenangkan engkau ke atasku dan akan menumpahkan darahku dengan dua tanganmu. Dan jika tidak (jika aku benar) Allah akan memenangkan aku ke atasmu dan pengikut-pengikutmu, menumpahkan darah-darah kamu melalui tanganku dan menyegerakan ruh-ruh kamu ke neraka. Zubair pun kembali kepada pengikut-pengikutnya dalam keadaan menangis”.[2]

Beberapa kesimpulan daripada riwayat di atas:

1. Motif tabarra (mengatakan kebencian dalam bentuk yang sangat halus) terhadap Sayyidina Uthman r.a. dengan mengatakan secara tersirat bahawa beliau mereka-reka hadith untuk kepentingan dirinya bila Sayyidina Ali r.a. mengatakan bahawa ia hanya mendengar hadith berkenaan sepuluh sahabat dijamin syurga oleh Allah ta’ala pada zaman khalifah ketiga itu.

2. Motif tabarra terhadap Zubair bin Awwam r.a. bila beliau mengakui kebenaran kata-kata Sayyidina Ali r.a. sehingga menangis namun beliau tetap tidak mahu mengikuti Sayyidina Ali r.a. (mengikut pandangan Syi’ah) dengan menganggapnya sebagaimana pegangan golongan Syi’ah.

3. Yang paling utama di sini ialah golongan Syi’ah berpegang bahawa sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga di sisi Ahlus Sunnah selain Sayyidina Ali r.a. adalah merupakan penghuni neraka yang paling teruk menerima azab daripada Allah ta’ala.

Al-Jabb juga bermakna telaga buruk.

Al-Ihtijaj Bab Ihtijaj Amir Al-Mukminin Ke Atas Zubair Bin Al-Awwam Dan Talhah Bin Ubaidillah jil. 1 hal. 162.

Syiah- Nabi Adam Dan Hawa A.S. Dikeluarkan Dari Syurga Kerana Dengki


Terjemahan

Syi’ah: Nabi Adam Dan Hawa A.S. Dikeluarkan Dari Syurga Kerana Dengki

As-Saduq meriwayatkan di dalam ‘Uyun al-Akhbar dengan sanadnya kepada al-Harawi katanya, saya berkata kepada ar-Ridha a.s[1].: “Wahai cucu Rasulullah s.a.w.! Ceritakan kepadaku tentang pokok yang buahnya dimakan oleh Adam dan Hawa. Bagaimana rupanya? Orang ramai berbeza cerita tentangnya. Ada yang menceritakan ianya adalah gandum. Yang lain pula menceritakan ia adalah anggur. Ada juga yang menceritakan ia adalah pokok dengki”. Beliau (ar-Ridha) menjawab: “Semuanya adalah benar”. Saya pun bertanya: “Apakah makna sama dalam keadaan ianya berbeza? Dia menjawab: “Wahai Aba as-Salt! Sesungguhnya pokok syurga (satu pokok) boleh menghasilkan beberapa jenis (buah). Terdapat pokok gandum dan padanya terdapat anggur dan ia tidak seperti pokok dunia. Sesungguhnya Adam a.s., bila ia telah dimuliakan oleh Allah ta’ala dengan malaikat-malaikat sujud kepadanya dan ia dimasukkan ke dalam syurga, maka terlintas di hatinya persoalan tentang apakah Allah menciptakan manusia yang lebih mulia darinya. Allah ta’ala mengetahui apa yang terlintas di hatinya. Allah menyerunya dengan berkata: “Angkat kepalamu wahai Adam! Pandanglah tiang arasy”. Adam pun mengangkat kepalanya lalu memandang tiang arasy. Maka ia mendapati tertulis padanya Tiada tuhan selain Allah, Muhammad adalah pesuruh Allah. Ali bin Abi Talib adalah Amir al-Mukminin, isterinya Fatimah adalah penghulu perempuan sekalian alam dan Hasan dan Husain adalah penghulu sekalian pemuda ahli syurga. Adam pun berkata: “Siapakah mereka ini wahai tuhanku? Allah ‘azza wa jalla berfirman: “Mereka ini adalah dari keturunanmu dan mereka lebih baik darimu dan dari sekalian makhlukku. Kalau tidak kerana mereka aku tidak akan menciptakan engkau dan tidak menciptakan syurga, neraka, langit dan bumi. Janganlah engkau memandang mereka dengan pandangan kedengkian dan bercita-cita untuk mencapai kedudukan mereka”. Lalu Adam memandang mereka dengan penuh kedengkian dan menginginkan kedudukan mereka. Maka syaitan dapat menguasainya (Adam) sehingga ia makan daripada pokok yang dilarang. Syaitan juga dapat menguasai Hawa kerana ia memandang Fatimah dengan penuh kedengkian sehingga ia juga memakan buah daripada pokok tersebut sebagaimana Adam. Kerana itu Allah mengeluarkan kedua-duanya daripada syurga dan mencampakkan kedua-duanya ke bumi”.

(Rujukan: Sayyid Ni’mat Allah al-Musawi al-Jazairi al-Anwar an-Nu’maniyyah jil. 1 hal. 243,244)


Kesimpulan:


  1. Syi’ah mengatakan punca yang membawa kepada tersingkirnya Adam dan Hawa a.s. daripada syurga ialah makan daripada pokok larangan. Sebab kedua-duanya makan daripadanya ialah dikuasai oleh syaitan dan penguasaan tersebut adalah disebabkan oleh dengki mereka berdua terhadap Nabi s.a.w. dan anak cucu baginda.
  2. Syi’ah mengatakan Nabi Muhammad s.a.w., Ali, Fatimah, Hasan dan Husain r.a. adalah merupakan sebab kepada penciptaan Adam a.s., dunia, syurga dan neraka.
  3. Syi’ah beri’itqad bahawa kedudukan nabi-nabi adalah lebih rendah daripada kedudukan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w.
  4. Syi’ah beri’tiqad bahawa Nabi Adam a.s. walaupun ia seorang nabi tetap tidak terlepas daripada sifat yang buruk iaitu dengki yang merupakan salah satu penyakit hati yang sangat keji.
Beliau ialah `Ali ar-Ridha bin Musa al-Kazim (wafat 202 H) yang dianggap oleh Syi’ah sebagai imam maksum kelapan mereka.
Saturday, August 7, 2010

Ramadhan Bulan penuh Berkat

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).

Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.

Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.

Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.

Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:

Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.

Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.

Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".

Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:

Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.
Sunday, August 1, 2010

Fatwa Tentang Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban

Bacaan Yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam Nisfu Syaaban (15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti berikut; selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh ulama muktabar dunia masakini tentang sahih atau batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan. Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam Nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

'Solat Sunat' Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya... Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena Nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut Nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan Nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada para sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (r.a) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (r.a) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurairah (r.a) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan berterusan.’”

Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para sahabat Baginda (r.a) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat (r.a) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Tuesday, May 18, 2010

Koleksi Hadis Amat Dhaif Dan Palsu 2

Aku adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya



Mukaddimah

Ada suatu golongan manusia (yang sikapnya berlebihan terhadap Ahlul Bait, terutama ‘Ali r.a.) mendakwa, dengan berdalil dengan ‘hadis’ ini , bahawa pendapat mereka adalah benar; iaitu bahawa ‘Ali adalah pintu ilmu, oleh itu sesiapa yang ingin memasuki rumah, maka wajiblah melalui pintunya dan –kata mereka- satu-satunya pintu itu adalah ‘Ali, sehingga sekiranya tidak melalui pintu tersebut, maka tidak sah.

Kalau pun hadis ini sahih (padahal hakikatnya tidaklah demikian), maka tidaklah bermakna ianya (iaitu Ali) adalah satu-satunya pintu itu, tetapi menurut para ulama, hanya merupakan salah satu dari pintu-pintu ilmu.

Memang tidak diragukan bahawa ‘Ali merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi di kalangan para shahabat dan memiliki banyak keutamaan. Tetapi keutamaan itu tidaklah sepatutnya dilebih-lebihkan sebegitu rupa sehingga diangkat sebagai Tuhan , (sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Ghulaat )

Teks Hadis

أَنَا مَدِيْنَةُ اْلعِلْمِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

“Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”


Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizy dari hadis ‘Ali dan katanya , “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhary. Di samping itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak dari hadis Ibn ‘Abbas. Ia berkatai, “Hadis Sahih.” Walaupun begitu Imam az-Zahaby berkata, “Sebaliknya, ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadits-hadits Maudhu’).

Al-Hafizh Abu Sa’id al-‘Alaa`iy berkata, “Yang benar, bahwa ia hadis Hasan bila dilihat dari jalur-jalurnya, tidak sahih dan juga tidak Dha’if apalagi dikatakan Maudhu’ (palsu).”

Menurut Imam as-Suyuthi ( pengarang buku rujukan dalam kajian kita ini): “Memang demikian yang dikatakan Syaikhul Islam Ibn Hajar (al-Haitsamy-penyunting) dalam fatwanya. Ucapan al-‘Alaa`iy dan Ibn Hajar tersebut telah beliau paparkan dengan panjang lebar di dalam kitabnya at-Ta’aqqubaat yang menyanggah kenyataan yang terdapat di dalam kitab al-Mawdhuu’aat tersebut.



Pendapat Syaikh Muhammad Luthfi Ash-Shabbaagh, Penahqiq (Peneliti) Buku:

Hadis ini MAUDHU’ (PALSU), untuk keterangan lanjut sila rujuk :

- al-Maqaashid al-Hasanah karya as-Sakhawi, h.97

- TamyÎz ath-Thayyib Min al-Khabiits… karya Ibn ad-Dubai’, h.33

- Kasyf al-Khafaa` karya al-‘Ajluni, Jld.I, h.203

- Al-Mawdluu’aat karya Ibn al-Jawzi, Jld.I, h.439

- Al-La`aali, Jld.I, h.329

- Tanziih asy-Syari’ah, Jld.I, h.377

- Ahaadiits al-Qushshaash, h.15

- Al-Fawaa`id karya al-Karmi, h.57

- Al-Fawaa`id karya asy-Syawkani, h.348-354

- Al-Asraar, h.71

- Tadzkirah al-Mawdluaa’aat, h.95

- Al-Fataawa al-Hadiitsiyyah, h.126

- Miizaan al-I’tidaal, Jld.II, h.251

- Asna al-Mathaalib, h.72

- Tuhfah al-Ahwadzi, Jld.IV, h.329

- Al-Mustadrak, Jld.III, h.126 (telah dinilai sahih oleh al-Hakim namun kemudian diteliti jalur periwayatannya oleh Imam az-Zahabi yang berkata, “Ianya hadis Maudhu’. Ia (al-Haakim) mengatakan, “Abu ash-Shalt [salah seorang perawi hadis] adalah seorang yang Tsiqah, Ma`mun. Menurutku (az-Zzahaby), “Demi Allah, ia bukan Tsiqah dan bukan pula Ma`mun.”)

- Dla’if al-Jami’ ash-Shaghiir karya Syaikh al-Albani, no.1322

- Al-Kaamil karya Ibn ‘Ady, Jld.I, h.193

- Adl-Dlu’afaa` karya al-‘Uqaily, Jld.III, h.150

- Majma’ az-Zawaa`id, Jld.IX, h.114

(SUMBER: ad-Durar al-Muntatsiarah Fi al-Ahaadiits al-Masyhuurah karya Imam as-Suyuthi, tahqiq, Syaikh Muhammad Luthfy ash-Shhabbaagh, h.70, hadis no.38)



Tambahan Dari Penyunting

Dalam teks yang kami dapati di dalam sunan at-Tirmizi tertulis:

أَنَا دَارُ اْلحِكْمَةِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

“Aku (Rasulullah) adalah Daar (gedung) ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Jadi, bukan seperti teks hadis dalam buku rujukan kita di atas, barangkali ada teks berbeza di dalam kitab selain sembilan kitab hadis induk (al-Kutub at-Tis’ah).

Mengenai teks ini, at-Tirmizi mengatakan, “Hadits Gharib Munkar.”
Ath-Thibi mengatakan, “Orang-orang Syi’ah nampaknya berpegang pada perumpamaan ini iaitu bahawa, mengambil ilmu dan hikmah dari beliau s.aw. adalah khusus buat ‘Ali, tidak seorang pun boleh melakukannya kecuali melalui perantaraannya kerana memasuki rumah hanya boleh dari pintunya di mana Allah berfirman, ‘Dan masukilah rumah-rumah tersebut dari pintu-pintunya.’ Padahal sebenarnya itu sama sekali tidak dapat menjadi hujjah bagi mereka kerana Daar al-Jannah (Rumah surga) sendiri tidak seluas Daar (rumah) hikmah, Dalam keadaan itu pun , ia ( Darul al-Jannah) memiliki 8 pintu.” (Maksudnya, dari arah mana saja dari kelapan-lapan pintu itu boleh dimasuki, tidak semestinya satu pintu sebagaimana dakwaan Syi’ah tersebut-Penyunting ).

Al-Qaari mengatakan, “Ali adalah salah satu dari pintu-pintunya (pintu hikmah). Akan tetapi adanya pengkhususan itu mengisyaratkan penghormatan kepadanya di mana beliau r.a. memang mempunyai kedudukan yang tinggi bila dibanding dengan sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu. Di antara hal yang menunjukkan bahawa kedudukan para sahabat semuanya sebagai pintu-pintu adalah hadis Nabi s.a.w, Para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang; siapa pun yang kalian ikuti, pasti kalian mendapat petunjuk.’ Iaitu sebagai isyarat perbezaan tingkatan cahayanya di dalam mendapatkan petunjuk itu. Sebagai bukti, para Tabi’in juga mengambil ilmu-ilmu syari’at seperti bacaan, tafsir, hadis, fiqih dari para sahabat lain selain ‘Ali. Dengan itu, dapat diketahui bahawa pintu itu tidak khusus milik Ali r.a. sahaja, kecuali dalam satu pintu, iaitu masalah qadha’ sebab memang ada hadis mengenai dirinya dalam hal itu, yang berbunyi, ‘Ia (‘Ali) adalah orang yang paling mengerti mengenai qada' di antara kamu.’ Sama seperti yang dikatakan kepada Ubay bahawa dia adalah ‘orang yang paling bagus bacaannya di antara kamu' , Zaid bin Tsabit sebagai yang ‘paling mengerti masalah fara’idh di antara kamu’ dan Mu’adz bin Jabal sebagai yang ‘paling mengerti masalah halal dan haram di antara kamu.’ ”

Sebenarnya, dengan berdalil dengan hadis “Para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang…” juga tidak tepat, sebab menurut pensyarah sunan at-Tirmizi, al-Mubarakfuri yang menukil dari Ibn Hajar bahwa hadis tentang ‘para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang…’ itu tidak shahih, sangat lemah bahkan Ibn Hazm menilainya sebagai hadits Maudhu’. Al-Baihaqi mengemukakan hadis Dha’if lain yang senada dengan itu lalu mengatakan bahwa boleh jadi dijadikan perumpamaan dalam hal mereka itu (para shahabat) adalah seperti bintang tetapi tidak dalam memberi petunjuk. Dan hal ini sesuai dengan makna hadis sahih yang diriwayatkan Muslim, isinya, ‘Bintang-gemintang adalah amanah langit, bila bintang-gemintang itu hilang maka akan datanglah apa yang dijanjikan kepada ahli langit.’ Pendapat al-Baihaqi ini didukung oleh Ibn Hajar sekali pun beliau menegaskan bahawa makna zahir hadis yang ada di dalam Sahih Muslim itu (hanya) berbicara tentang fitnah yang akan terjadi setelah berakhirnya masa sahabat, iaitu dengan munculnya berbagai bid’ah dan perbuatan-perbuatan keji di seluruh muka bumi.” (aiitu tidak berkait dengan makna kedua hadits lemah di atas- Penyunting.)

(Lihat, Tuhfah al-Ahwadzi Syarh Sunan at-Turmudzy karya al-Mubaarakfuri, berkaitan dengan syarah hadis di atas)



Kesimpulan:

a) Hadis tersebut adalah MAUDHU’ sebagaimana yang dianalisa oleh Syaikh Muhammad Luthfi ash-Shabbaagh.

b) ‘Ali r.a. memang memiliki kedudukan lebih dari sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu, tetapi tidak boleh dikatakan bahawa oleh sebab itu, beliaulah satu-satunya pintu ilmu, apalagi dengan dakwaan hal itu telah dikhususkan oleh Nabi s.a.w kepadanya. Tambahan pula, hujjahnya bersandarkan kepada hadis Maudhu di atas, Wallahu a’lam.

Disaring dari artikel asal dari www.alsofwah.or.id

About Me

My Photo
slash
Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
View my complete profile

Makluman!!

Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.

Islamic Widget

Followers