Beberapa Kisah Taubat
Saad bin Abi Waqash pernah diangkat sebagai Amir di kota Kufah. Dia telah menjalankan pemerintahan dengan bijak, adil dan baik. Walaupun demikian ada di kalangan manusia yang tidak suka kepadanya telah menabur fitnah dan mengadu kepada Amirul Mukminin Umar bin Khattab ra.
Untuk mengetahui dari perkara yang sebenarnya, Khalifah telah menghantar seorang penyiasat ke Kufah. Orang ini pergi dari satu masjid ke masjid lainnya untuk menanyakan hal Saad kepada rakyat Kufah. Semua orang yang ditanya, tidak ada yang mengatakan sesuatu tentang Saad kecuali baik.
Pada akhirnya utusan Khalifah sampai ke sebuah masjid yang di situ terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Abu Saadah. Lelaki ini mengatakan bahawa Saad bin Abi Waqash tidak membahagi secara adil, tidak ikut ke medan pertempuran dan tidak adil dalam memutuskan sesuatu perkara.
Apabila Saad mendengar tentang fitnah yang ditaburkan oleh lelaki itu, dia berdoa kepada Allah SWT. “Ya Allah, jika sekiranya orang itu berkata dengan bohong, maka panjangkanlah usianya, panjangkan kefakirannya dan timpakan beberapa fitnah kepadanya.”
Ibnu Umair yang menceritakan kisah ini berkata: “Aku melihat lelaki itu dalam keadaan yang sangat tua sehingga bulu alisnya sampai menutup matanya kerana ketuaan. Hidupnya dalam keadaan fakir.”
Bila dikatakan kepadanya: “Bagaimanakah keadaanmu?”
Dia menjawab: “Aku telah menjadi orang yang terlalu tua dan menderita. Aku telah terkena doa Saad, oleh kerana itu, aku bertaubat kepada Allah, untuk tidak mengulangi lagi perbuatanku yang suka memfitnah itu.”
Taubat Para Askar
Pada suatu hari Syeikh Baqan sedang berada di tepi sungai. Tiba-tiba sebuah perahu yang memuat sekumpulan tentera lalu di sungai itu. Di dalam perahu tersebut banyak terdapat arak dan benda-benda terlarang lainnya. Syeikh yang berada di tebing sungai tahu akan barang-barang terlarang yang ada di dalam perahu itu dengan kasyafnya.
“Wahai pahlawan! Bertakwalah kamu kepada Allah dan naiklah engkau ke darat!” teriak Syeikh Baqan.
Akan tetapi orang-orang yang ada di dalam perahu itu tidak memperdulikan seruan itu, bahkan menoleh pun tidak.
Melihat kedegilan mereka, Syeikh Baqan berseru kepada sungai: “Wahai sungai yang tunduk kepada Allah! Berilah pembalasan terhadap orang-orang jahat itu.”
Tiba-tiba air sungai bergelora menghempas perahu mereka sehingga hampir saja karam. Pada saat itu mereka memohon maaf kepada Syeikh Baqan dan menyatakan taubatnya. Mereka betul-betul menyesal dan air sungai kembali tenang seperti sebelumnya sehingga mereka turun dengan selamat. Sejak itulah mereka sering berziarah ke rumah Syeikh Baqan.
Taubat Seorang Pegawai Tinggi
Sari As-Saqati bercerita bahawa pada suatu hari dia sedang memberi arahan di sebuah masjid jamik. Tiba-tiba datang seorang pemuda dengan pakaian yang mewah dan dikawal oleh beberapa orang pengiring. Dia duduk di masjid itu dan mendengarkan syarahan. Ketika itu Sari berkata: “Adalah suatu keajaiban bagi orang yang sangat lemah berani menentang orang yang sangat kuat.”
Wajah si pemuda berubah sebaik saja mendengar ucapan Sari, dan terus pulang. Keesokan harinya Sari mengajar lagi sebagaimana biasa. Pemuda yang semalam datang dengan berpakaian mewah, sekarang hanya memakai pakaian biasa dan tanpa pengawal.
“Wahai tuan guru! Apakah maksud perkataan tuan yang semalam itu?” tanya orang muda itu kepada Sari.
“Tidak ada yang lebih kuat selain Allah, dan tidak ada yang lebih lemah selain manusia. Akan tetapi manusia berani menentang Allah dengan bermaksiat kepadaNya. Bukankah itu suatu keajaiban?” Jawab Sari.
Pemuda itu tertunduk mengingatkan dosa-dosa yang telah dilakukannya, kemudian dia pulang dengan seribu tanda tanya di hatinya, apakah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya itu? Apakah Allah akan menerima taubatnya? Keesokan harinya dia telah datang lagi kepada Sari.
“Wahai tuan Sari! Tunjukkan kepada saya jalan menuju Allah,” kata pemuda itu.
“Ada dua cara untuk sampai kepada Allah. Yang pertama dengan mengerjakan semua yang terkandung di dalam Al-Quran, yakni solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain pekerjaan. Yang kedua dengan cara meninggalkan segala-galanya selain Allah, kemudian dia tidak tinggal melainkan hanya di masjid atau di tempat-tempat yang sunyi dengan menghabiskan masa untuk beribadah kepada Allah.”
“Kalau begitu, aku tidak akan menempuh melainkan jalan yang lebih dekat,” kata pemuda itu.
Selepas berkata demikian, pemuda itupun keluar menuju padang pasir dan menghabiskan masanya untuk beribadah kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa yang pernah ia lakukan.
Beberapa hari kemudian orang-orang dari istana sibuk mencari Setiausaha Kerajaan yang tidak pulang ke istana. Orang yang mengetahui dia mendengarkan syarahan Sari As-Saqati, datang dan bertanya kepadanya.
“Tuan guru Sari tahukah tuan kemana perginya pemuda yang datang ke sini beberapa hari yang lalu?”
“Aku tidak tahu, melainkan ada seorang pemuda sifatnya begini dan begitu,” jawab Sari.
“Dia itulah Ahmad bin Yazid, Setiausaha Kerajaan ini,” jawab mereka.
Sari As-Saqati menerangkan bahawa si pemuda telah memilih jalan pintas menuju Allah. Dia sekarang tengah beribadah, diharap pihak istana jangan risau.
Sementara ibu si pemuda itu agak kecewa kerana gara-gara Sari As-Saqati anaknya telah meninggalkan jawatannya sebagai orang kanan kerajaan dan menjadi seorang sufi.
Apabila pemuda itu datang, Sari segera memberitahukan kepada keluarganya. Merekapun datang. Si ibu menangis melihat keadaan anaknya yang hidup glamour itu tiba-tiba memakai baju kasar dan buruk sebagaimana biasanya seorang sufi. Mereka cuba memujuk si pemuda agar meneruskan pekerjaannya lagi, namun dia sudah tidak mahu.
“Engkau telah tergamak membuatku menjadi janda dan anak kita menjadi yatim padahal engkau masih hidup,” kata isteri lelaki itu. “Bawalah anak ini ke mana engkau pergi.”
Lelaki itu lalu menanggalkan pakaian mewah anaknya dan ditukarnya dengan pakaian kasar seperti seorang darwisy. Melihat itu, si ibu langsung menyambar anaknya dan menanggalkan baju kasar di badannya, lalu digantikannya dengan baju istana. Kemudian mereka meninggalkan Setiausaha Kerajaan yang telah menjadi Darwisy itu masuk ke hutan belantara.
Beberapa hari kemudian ada orang datang kepada Sari memberitahukan bahawa bekas Setiusaha Kerajaan itu sedang terbaring di atas tanah perkuburan dan meminta tuan guru Sari agar datang ke sana. Sesampainya di sana, Sari mendapati pemuda itu sedang nazak di atas tanah.
“Tuan datang agak lambat,” kata pemuda itu kepada Sari. Selepas menyebut Kalimah Tauhid, pemuda itupun meninggal dunia.
Sari As-Saqati segera pulang untuk memberitahukan orang ramai dan mengambil alat-alat pengkebumian, tapi sesampainya di tengah jalan dia telah berjumpa dengan orang ramai lengkap membawa alat-alat untuk penyelenggaraan jenazah. Mereka mendakwa telah mendengar suara bahawa Setiusaha Kerajaan telah meninggal dunia sebagai hamba yang dicintai Allah.
Taubat Gabenor Zalim
Diceritakan bahawa di masa hidup Sayyidah Nafisah ada seorang gabenor zalim yang suka menyeksa rakyatnya tanpa alasan yang munasabah. Suatu hari dia telah memerintahkan kepada beberapa orang pegawainya agar menangkap seorang yang dikehendaki untuk diseksanya.
Mendengar dirinya akan ditangkap, orang yang dikehendaki itu lari ke rumah Sayyidah Nafisah minta perlindungan dan ja-minan. Bagaimanapun petugas gabenor dapat mengesannya. Orang yang dikehendaki ketakutan apabila petugas gabenor datang untuk menangkapnya.
“Insya Allah setelah engkau menghadapnya, engkau akan dibebaskan. Pergilah jangan takut, semoga Allah akan menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim,” kata Sayyidah Nafisah kepada orang yang akan dizalimi.
Maka pergilah lelaki itu bersama orang-orang gabenor yang zalim sehingga sampai di istana. Para petugas yang mengawalnya membawa lelaki itu ke hadapan gabenor yang sedang duduk di balai penghadapan.
“Mana orang yang saya suruh tangkap itu?” tanya gabenor kepada para petugas.
“Yang berdiri di hadapanmu itulah,” jawab mereka.
“Betul Mana? Aku tidak nampakpun,” kata gabenor kebingungan.
“Ini dia tuan, takkan tidak nampak,” kata mereka lagi.
“Sungguh aku tidak melihatnya,” kata si gabenor. “Pelik betul, apa yang terjadi dengan dia?”
Sebelum dibawa ke sini, dia telah pergi ke rumah Sayyidah Nafisah dan memohon doa. Lalu beliau berdoa: “Semoga Allah menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim.” Kata para petugas memberikan keterangan.
“Masya Allah kalau begitu aku memang zalim. Apakan jadi kalau semua orang yang teraniaya dihijab oleh Allah dari penglihatanku?” kata gabenor. “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu.”
Gabenor kelihatan sangat menyesal dan takut, lalu dibukanya tutup kepalanya. Kerana dia telah betul-betul bertaubat, tiba-tiba dia melihat lelaki yang dikehendakinya berdiri tegap di hadapannya. Dia meminta maaf dan mengecup kepala lelaki itu. Lalu dikeluarkannya beberapa helai baju yang bagus dan sejumlah wang dan diberikannya kepada lelaki itu sebagai rasa syukurnya. Selepas itu gabenor yang telah bertaubat itu mengeluarkan sejumlah hartanya lagi dan disedekahkannya kepada fakir miskin. Dia juga mengantar utusan kepada Sayyidah Nafisah dengan membawa wang seratus ribu dirham untuk diberikan kepada beliau.
Wang itu diterima oleh Sayyidah Nafisah lalu dibukanya ketika itu dan dibahagi-bahagikan kepada orang lain yang memerlukannya sehingga habis.
“Wahai Sayyidah Nafisah! Seandainya engkau tinggalkan sedikit wang untuk membeli buka puasa kita, kan baik,” kata perempuan-perempuan sufi yang ada di sekitarnya.
“Ambillah benang yang telah kupintal dengan tanganku sendiri dan jual. Hasilnya belikan makanan untuk buka kita.” Kata Sayyidah.
Pergilah perempuan itu menjual benang hasil pintalan tangan Sayyidah Nafisah yang mulia itu, dan hasilnya dibelikan makanan untuk berbuka puasa mereka. Dengan demikian, Sayyidah Nafisah tidak mengambil sedikitpun wang yang diberikan oleh gabenor.
About Me
- slash
- Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
0 komen:
Post a Comment