Sunday, April 29, 2012
Perbahasan Tentang Usia Sebenar Khadijah R.A. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah S.A.W.
8:05 AM |
Di sediakan oleh
slash |
Edit Post
(Adaptasi
dari terjemahan Bahasa Inggeris kertas kerja hasil kajian oleh Maulana
Habibur Rahman Siddiqui Kandhalawi. Beberapa pindaan dari teks asal
dibuat untuk tujuan menjelaskan fakta.)
Dikatakan
bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika
beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang
yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap
seolah-olah sebahagian daripada ugama. Ini adalah percubaan untuk
membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya
bersama-sama dengan seorang wanita tua. Dalam usia lanjut, beliau r.a
telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu
Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan
Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah
melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah,
sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya
Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.
Saidatina
Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin
dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah
Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang
anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind
dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah,
Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia
mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya
mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind.
Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam.
(Seerat-un-Nabi, Jilid II, m/s 402).
Di
sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah
melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia
tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia
agak bertentangan dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan,
seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya
apabila melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa
lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun?
Pihak
Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus
terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan
akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil
kesempatan untuk mencemuh Islam.
Namun
begitu, ulama kita sebaliknya menganggap kejadian ini sebagai ‘satu
mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi mereka menganggap inilah
keistimewaan nabi s.a.w. kerana sanggup mengahwini wanita yang tua
sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda belia.
Di
pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan
sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu
Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w.
Golongan
Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a. ialah 40 tahun semasa
berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain
dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa
bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal
ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a..
Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada
Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah.
Kita
akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah
dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w. Tetapi
sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang
berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka
membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah
anak kepada Khadijah r.a.
Sebenarnya
terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila
berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun.
Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30
tahun, dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang
menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat
mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan
mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah
pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang
terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa
pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’.
Hafiz Ibn Kathir menulis:
“Baihaqi
telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini
Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan
Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat
lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II,
m/s 295)
Dengan
lain perkataan, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah
r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan
itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a.
berusia dua puluh lima tahun.
Di
tempat lain, Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a.
pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah
mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia
50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.”
(al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)
Ulama
Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a.
menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan
beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir
berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah
membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya
ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa
‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40
semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.) adalah salah dan tidak benar
sama sekali..
Meskipun
dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan
terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin
semata-mata.
Apabila
kami mengkaji ‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir,
barulah kami menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa
mengampuni kami, kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham
yang besar. Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua
kefahaman akan Kebenaran.
Wallahua’lam
Label:
Siri Pemurnian Sejarah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
About Me
- slash
- Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
Facebook Badge
Makluman!!
Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.
0 komen:
Post a Comment