Tuesday, March 27, 2012

ASPEK PENYELEWANGAN SYIAH

Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Terdapat penyelewengan daripada pelbagai sudut, antaranya aqidah, syariah dan umum.

PENYELEWENGAN DARIPADA SUDUT AQIDAH

1) Khalifah diwasiatkan secara Nas

i. Syiah mempercayai imam-imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasul-NYA secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 78.

ii. Syiah juga mempercayai wasi ( orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat) Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Perkara ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin Husain Ali Kasyif al-Ghita', halaman 136.

2) Imamah dan khalifah sebahagian daripada Rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj kebenaran dan Pendedahannya ( Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim, halaman 145-146.

3) Imam adalah Maksum

i. Syiah meyakini bahawa imam-imam adalah maksum (terpelihara) daripada dosa kecil dan dosa besar dari peringkat kanak-kanak hinggalah meninggal dunia.

ii. Menurut mereka imam sama seperti Nabi, tidak melakukan kesalahan, tidak lupa serta dianggap sebagai pemelihara syariat. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Syiah Fi al-Mizan oleh Muhammad Jawad Mughniah, halaman 38 dan kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 72.

4) Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-Bada').

i. Dari sudut bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesusah tersembunyi. Menurut akidah Syiah, al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya.

ii. Syiah juga menganggap ilmu Tuhan itu akan berubah dan bersesuaian dengan fenomena baru. Hal ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh Al-Khulaini, Juzu' 1, halaman 146.

5) Kemunculan semula Imam Mahdi dan Kumpulan Orang yang telah Mati untuk memberi keadilan ( Ar-Raj'ah).

i. Menurut aqidah Syiah, golongan Syiah dikehendaki mempercayai bahawa Allah akan menghidupkan semula orang-orang yang telah mati ke dunia bersama-sama kebangkitan Imam Mahdi untuk menghukum orang-orang yang melakukan kezaliman. Fakta ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, halaman 83.

6) Berpura-pura ( At-Taqiyyah)

i. At-Taqiyyah bermaksud menyembunyikan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta benda dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya.

ii. At-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali di dalam masalah arak dan menyapu dua khuf. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Khulaini ar-Razi, halaman 217.

7) Muhammad bin Hassan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar (al-Mahdi).

i. Mereka percaya bahawa Muhammad bin Hassan al-Askari ialah imam yang ditunggu-tunggu yang hilang dan yang akan kembali untuk memerintah dan menghukum orang-orang yang telah melakukan kezaliman.

ii. Beliau telah menghilangkan diri selama 65 tahun mulai tahun 206H - 329H. Hal ini dijelaskan dalam kitab as-Syiah Wa al-Tashih al-Sira' Baina al-Syiah Wa al-Tasyayyu' oleh Doktor Musa al-Musawi, halaman 61.

8) Saidina Ali disamatarafkan dengan Allah SWT.

i. Mereka mempercayai Ali adalah sama taraf dengan Allah di mana beliau adalah sebagai pembahagi ahli Syurga dan ahli Neraka. Perkara ini disebut di dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-khulaini, Jilid 1, halaman 197.

9) Mengkafirkan Para Sahabat.

i. Mereka mempercayai bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW semua sahabat murtad kecuali ahlul bait dan empat orang sahabat iaitu Abu Dzar, Miqdad, Salman al-Farisi dan Ammar bin Yasir. Hal ini dinyatakan dalam kitab al-Anwar al-Nu'maniah oleh al-Syed Nikmatullah al-Musawi, halaman 81.

10) Menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah Sebagai Empat Berhala Quraisy Serta Pengikut-Pengikut Mereka adalah Musuh Allah.

i. Golongan Syiah menuduh Abu bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy dan pengikut mereka dikatakan musuh Allah. Perkara ini dijelaskan dalam kitab al-Tafsir oleh Muhammad bin Mas'ud bin 'Iyasy al-Salami al-Samarqandi, juzu' 1, halaman 116.

11) Hanya Ali Menghimpunkan Al-Quran Dengan Sempurna.

i. Mereka menganggap bahawa tidak ada sahabat yang menghimpunkan dan menghafal al-Quran dengan sempurna kecuali Ali sahaja. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,Jilid 1, halaman 228. Al-Quran yang ada pada umat Islam sekarang sama ada di dalam mashaf atau yang dilafaz dianggap telah diseleweng. Al-Quran yang sebenarnya ada pada Saidina Ali bin Abi Thalib, kemudian beliau telah mewariskan kepada Imam yang selepasnya dan sekarang ini ada pada Imam kedua belas mereka iaitu Imam Mahdi al-Muntazar. Selepas Imam ini turun barulah al-Quran yang sebenar akan dikemukakan pada orang ramai, mengikut kepercayaan Syiah.

ii. Selain daripada itu, puak Syiah mempunyai pandangan yang khas dalam mentafsirkan al-Quran dan mentakwilkannya. Antara contoh tafsiran Syiah adalah seperti berikut :
  • Mereka mentafsirkan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 51 iaitu "dengan itu janganlah kamu menjadikan dua orang Imam sebenarnya ambillah satu imam sahaja".
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 238 dengan maksud "(al-Solah) ialah Rasulullah, Amirul Mukminin, Hasan dan Husain, manakala (al-Wusto) ialah Amirul Mukminin, (waqumu lillahi qonitin) ialah taat terhadap Imam-Imam.
  • Firman Allah SWT dalam surah al-Naba' ayat 1-2. Mereka mentafsirkan (al-Naba') ialah Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib.

12)Menambah Syahadah

i. Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam Syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Khulaini,jilid 1, halaman 441.


13) Menolak Hadith Yang Diriwayatkan Oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah sekalipun Hadith Mutawatir. Mereka berpegang kepada empat kitab-kitab hadith sahaja, dan dengannyalah mereka beramal untuk sepanjang zaman. Kitab tersebut adalah Al-Kafi Fi Usul Wa Al-Furu', Man La Yakhdarah Al-Faqih, Tahzib Ahkam, dan Al-Istibsor Fima Ikhtilafiyyah Min Akhbar.

i. Al-Kafi Fi Usul Wa al-Furu', karangan Muhammad bin Yaakub Al-Khulaini, digelar oleh puak Syiah sebagai Thiqah AL-Islam. Kitab ini adalah kitab yang terulung agama Syiah. Periwayatannya disandarkan terus kepada salah seorang Imam 12 bukannya kepada Rasulullah SAW.

ii. Mereka berpendapat bahawa tiada bezanya di antara imam-imam itu dengan Rasulullah SAW. Imam yang paling banyak disandarkan kepadanya ialah Imam Jaafar As-Sodiq. Kitab ini mengandungi riwayat-riwayat yang menghina dan mengaibkan Al-Quran dengan mengatakan ianya ada kekurangan dan terseleweng.

iii. Mereka hanya berpegang dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bait.

iv. Mereka juga pantang menerima apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Samurah b. jundub, Marwan b. al-Hakam, Imran b. Hathan al-Khariji dan Amru b. al-As. Pegangan ini disebutkan di dalam buku Aslu al-Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad al-Husain Aali Kasyif al-Ghita', halaman 149.

0 komen:

Post a Comment

About Me

My Photo
slash
Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
View my complete profile

Makluman!!

Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.

Islamic Widget

Followers