Sunday, May 6, 2012
Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala (part 1)
7:11 AM |
Di sediakan oleh
slash |
Edit Post
Seorang
tokoh Islam yang terkenal di Pakistan, Maulana Ali Ahmad Abbasi menulis
di dalam bukunya "Hazrat Mu'aawiah Ki Siasi Zindagi" bahawa di dalam
sejarah Islam, ada dua orang yang sungguh kontroversial. Seorang
daripadanya Amirul Mukminin Yazid yang makin lama makin dimusnahkan
imejnya walaupun semasa hayatnya beliau diterima baik oleh tokoh-tokoh
utama di zaman itu. Seorang lagi ialah Mansor Al Hallaj. Di zamannya dia
telah dihukum sebagai mulhid, zindiq dan salah seorang daripada
golongan qaramithah oleh masyarakat Islam yang membawanya disalib.
Amirul Mukminin Al Muqtadir billah telah menghukumkan beliau murtad
berdasarkan fatwa sekalian ulama dan fuqaha' yang hidup pada waktu itu,
tetapi imejnya semakin cerah tahun demi tahun sehingga akhirnya telah
dianggap sebagai salah seorang ' aulia illah'.
Bagaimanapun
semua ini adalah permainan khayalan dan fantasi manusia yang jauh
daripada berpijak di bumi yang nyata. Semua ini adalah akibat daripada
tidak menghargai dan memberikan penilaian yang sewajarnya kepada
pendapat orang-orang pada zaman mereka masing-masing.
Pendapat
tokoh-tokoh dari kalangan sabahat dan tabi'in yang sezaman dengan Yazid
berdasarkan riwayat-riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya
menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang
bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan
disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam "Ansabu Al Asyraf"
mengatakan bahawa, " Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah
bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : " Sesungguhnya
anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah
kamu berada di tempat-tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan bai'ah
kamu kepadanya" (Ansabu Al Asyraf, jilid 4, m.s. 4).
Sejarawan
Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa'
Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata-kata Ibnu Abbas ini di hadapan
mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid ' Amirul Mukminin'.
Abdullah
Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa
itu pula bersikap tegas terhadap orang-orang yang menyokong
pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan
sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk
Madinah membatalkan bai'ah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn
Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, " Saya
pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, " Akan dipacakkan bendera
untuk setiap orang yang curang (membatalkan bai'ahnya) pada hari kiamat.
Sesungguhnya kita telah berbai'ah kepadanya dengan nama Allah dan
RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar
daripada kita berbai'ah kepada seseorang dengan nama Allah dan
RasulNya, kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada
sesiapa daripada kamu membatalkan bai'ah kepadanya dan turut serta di
dalam pemberontakan ini, maka terputuslah perhubungan di antaraku
dengannya". (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)
Sebenarnya
jika dikaji sejarah permulaan Islam kita dapati pembunuhan Sayyidina
Husain di zaman pemerintahan Yazidlah yang merupakan fakta terpenting
mendorong segala fitnah dan keaiban yang dikaitkan dengan Yazid tidak
mudah ditolak oleh generasi kemudian. Hakikat inilah yang mendorong
lebih banyak cerita-cerita palsu tentang Yazid diada-adakan oleh
musuh-musuh Islam. Tentu sekali orang yang membunuh menantu Rasulullah
s.a.w yang tersayang-dibelai oleh Rasulullah dengan penuh kasih sayang
semasa hayatnya kemudian ditatang pula dengan menyebutkan kelebihan dan
keutamaan-keutamaannya di dalam hadis-hadits Baginda- tidak akan
dipandang sebagai seorang yang berperi kemanusiaan apalagi untuk
mengatakannya seorang soleh, budiman, bertaqwa dan pemimpin umat Islam.
Kerana
itulah cerita-cerita seperti Yazid sering kali minum arak, seorang yang
suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan
penari-penari, begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya
sehingga suka bermain dengan monyet dan kera, terlalu mudah diterima
oleh umat Islam kemudian.
Tetapi
soalnya, benarkah Yazid membunuh Sayyidina Husain? Atau benarkah Yazid
memerintahkan supaya Sayyidina Husain dibunuh di Karbala?
Selagi
tidak dapat ditentukan siapakah pembunuh Sayyidina Husain yang
sebenarnya dan terus diucapkan ' Yazidlah pembunuhnya' tanpa soal
selidik yang mendalam dan teliti, maka selama itulah nama Yazid akan
terus tercemar dan dia akan dipandang sebagai manusia yang paling
malang. Tetapi bagaimana jika yang membunuh Sayyidina Husain itu bukan
Yazid ? Kemanakah pula akan kita bawakan segala tuduhan-tuduhan liar,
fitnah dan caci maki yang selama ini telah kita sandarkan pada Yazid itu
?
Jika
kita seorang yang cintakan keadilan, berlapang dada, sudah tentu kita
akan berusaha untuk membincangkan segala keburukan yang dihubungkan
kepada Yazid selama ini dan kita pindahkannya ke halaman rumah pembunuh-
pembunuh Sayyidina Husain yang sebenar. Apalagi jika kita seorang Ahlus
Sunnah Wal Jamaah, sudah tentu dengan dengan adanya bukti-bukti yang
kuat dan kukuh daripada sumber-sumber rujukan muktabar dan berdasarkan
prinsip-prinsip aqidah yang diterima di kalangan Ahlus Sunnah, kita akan
terdorong untuk membersihkan Yazid daripada segala tuduhan dan
meletakkannya ditempat yang istimewa dan selayak dengannya di dalam
rentetan sejarah awal Islam.
Sekarang
marilah kita pergi ke tengah-tengah medan penyelidikan tentang
pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala bersama-sama dengan sekian ramai
ahli keluarganya.
PEMBUNUH SAYYIDINA HUSAIN ADALAH SYIAH KUFAH
Terlebih
dahulu kita akan menyatakan dakwaan kita secara terus terang dan
terbuka bahawa pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya bukanlah Yazid
tetapi adalah golongan Syiah Kufah.
Dakwaan
ini berdasarkan beberapa fakta dan bukti-bukti daripada sumber-sumber
rujukan sejarah yang muktabar. Kita akan membahagi-bahagikan bukti-bukti
yang akan dikemukakan nanti kepada dua bahagian :
(1) Bukti-bukti utama
(2) Bukti-bukti sokongan
I. BUKTI-BUKTI UTAMA
Dengan
adanya bukti-bukti utama ini, tiada mahkamah yang dibangunkan untuk
mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan akan memutuskan Yazid sebagai
pesalah dan sebagai penjenayah yang bertanggungjawab di dalam
pembunuhan Sayyidina Husain. Bahkan Yazid akan dilepaskan dengan penuh
penghormatan dan akan terbongkarlah rahsia yang selama ini menutupi
pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya di Karbala.
Bukti
pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang
membunuh Sayyidina Husain. Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah
membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan "At
Tawwaabun" yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina
Husain. Sebagai cara bertaubat, mereka telah berbunuh-bunuhan sesama
mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi sebagai
pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak
lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina.
Air
mata darah yang dicurahkan oleh golongan "At Tawaabun" itu masih
kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang
walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu-ribu cara.
Pengakuan
Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh
ulama-ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti
Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku mereka
masing-masing. Baaqir Majlisi menulis :
"Sekumpulan
orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah
mereka, " Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah
dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh "Ketua Pemuda Ahli
Syurga" kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji
setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi
tidak berguna apa-apa". (Jilaau Al'Uyun, m.s. 430)
Qadhi
Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu Al'Mu'minin
bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Sayyidina
Husain terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah
dan berkata, " Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan
janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan
membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali
kita berbunuh-bunuhan sesama kita ". Dengan itu berkumpullah sekian
ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat
yang bermaksud, " Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan
kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan
yang menjadikan kamu ". (Al Baqarah :54). Kemudian mereka
berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam
sejarah Islam dengan gelaran "At Tawaabun".
Sejarah
tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rab'ie di dalam
pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin
Rab'ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada
Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina
Husain. Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk
mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi
apakah yang telah dilakukan olehnya?
Sejarah
memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk
menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari
kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. (Jilaau Al'Uyun dan
Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37)
Adakah
masih ada orang yang ragu-ragu tentang Syiahnya Syits bin Rab'ie dan
tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi,
seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna
pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu.
Lihatlah
pula kepada Qais bin Asy'ats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui
tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah
mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut
Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu
Al Mashaaib, m.s. 192)
Selain
daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya
pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi-saksi yang turut
serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di
Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan
ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan
oleh sejarah sebelum beliau terbunuh. Sayyidina Husain berkata dengan
menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia
bertempur dengan beliau :
"
Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat
maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan
pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu
kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu
dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang
dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang
kami ". (Jilaau Al' Uyun, ms 391).
Insya'Allah akan bersambung...
Label:
Siri Pemurnian Sejarah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
About Me
- slash
- Makna Kebahgiaan. Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya. Yusuf al-Qardawi
Facebook Badge
Makluman!!
Assalamualaikum..artikel-artikel di dalam blog ini bukan hasil tulisan saya semuanya. Ini adalah hasil koleksi saya dari buku, laman web orang lain, surat khabar dan sebagainya. Anda bebas untuk mengambil mana-mana artikel yang diperlukan. Terima Kasih.
0 komen:
Post a Comment